Monday, September 28, 2009

Biarkan Rakyat Perak Buat Pilihan: Jangan Jadikan Sang Kancil Menderita

PEPATAH yang menyebut bahawa "gajah sama gajah berjuang, kancil mati di tengah-tengah" adalah analogi yang paling tepat kepada rakyat negeri Perak sekarang.

Kemelut politik negeri yang diterajui oleh seorang Raja yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara ini memang benar-benar diuji dengan pertarungan politik dan juga perundangan.

Teori Si Kitul sebenarnya sedang berlaku. Pada mereka yang tidak memahaminya, belajarlah membuka buku sejarah Melayu.

Belajarlah mengenali bangsa sendiri, cuba hantar anak-anak belajar di dalam negeri bagi memahami jati diri dan bangsa.

Bukan setakat bercakap seperti burung Tiong, yang ia sendiri tidak memahami erti ucapan yang dikeluarkan.

Apabila Si Kitul sudah berjaya mempengaruhi Si Mandaliar, maka melompatlah para pengikutnya mengikut paluan rebana benua asing berkenaan. Lingkuplah empayar Melayu Melaka.

Pemerintah yang zalim, pembesar yang leka, khayal, dengki khianat dan sebagainya sudah terbukti merobohkan ketamadunan yang sudah dibina ratusan tahun lamanya. Begitulah yang berlaku dewasa ini. Ibarat sarang tebuan yang sudah besar, ia tidak mudah dibendung malah amat sukar untuk dimusnahkan.

Sekiranya silap dijolok maka padah menimpa kepala sendiri. Tidak akan cukup tanah untuk kita berlari, malah terjun ke sungai belum tentu tidak lemas dan mati.

Pepatah Melayu ada menyebut "menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak." Fahami baik-baik pepatah berkenaan sekiranya anda berjiwa Melayu. Mudah sungguh untuk merungkai, tidak susah untuk menyelesai.

Rupanya di sebalik kemelut, banyak yang boleh diambil iktibar. Pada waktu ini, masih belum nampak jalan penyelesaian di negeri Yop Kejor.

Orang sedang 'amuk' jika dilayan anginnya maka sudah tentu kita juga akan terpalit dengan amarahnya. Yang paling naya dan sukar tentulah rakyat biasa golongan marhaen. Usahkan nak senang, cari makan pun semakin susah. Paling buruk, semua kemarahan itu diterjemah malah dilampiaskan kepada parti pemerintah yang pada pandangan mereka suka kacau daun.

Dengan perkataan lain, pemerintah perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak diingini lagi di negeri-negeri berkenaan. Kewujudan mereka dan segala usaha untuk merampas kembali dalam masa terdekat bukan sekadar menerima tentangan sengit tapi bakal menggali kubur Barisan Nasional (BN) sendiri.

Jalan paling mudah, selamat dan tersembunyi 1,001 macam kebaikan di dalamnya adalah dengan memberikan peluang dan masa untuk rakyat membuat penilaian sendiri. Tidak perlu paksaan, sogokan, dakyah berterusan, kempen memburuk-buruk malahan teruskan sahaja agenda memperbaiki diri sendiri dan usaha memulihkan keyakinan massa terhadap kemampuan BN sebagai parti ulung bagi memberikan kesejahteraan kepada rakyat negara ini.

Jadikanlah negeri Perak sebagai kayu pengukur prestasi khidmat pemerintah. Apa yang disebut sebagai KPI 'jargon' pentadbiran yang sering bermain di lidah para pentadbir negara bukan setakat kata-kata kosong tanpa justifikasi.

Buktikan ketelusan, keprihatinan dan usaha yang berterusan serta bersungguh-sungguh dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada 'pelanggan setia.'

Diamnya majoriti utama tunggak Malaysia tidak semestinya mereka tidak memahami kepentingan diri, bangsa dan agama.

Jangan fikir hanya kita yang tahu erti ketuanan Melayu, keistimewaan-keistimewaan yang kita sendiri pernah tarik dan injak-injak satu waktu dahulu.

Pernahkah ada sesiapa di antara kita menyoal betapa pedihnya apabila itu semua turut diragut begitu sahaja. Jangan tanya apa yang rakyat mahu, tanya diri sendiri apakah kita benar-benar sudah memahami kehendak mereka.

Jangan lagi beralasan menunggu isyarat dari rakyat kerana mereka sudah pun meletakkan rumah api di EMPAT buah negeri. Awas kepala anda, jalan kena tunduk melihat rumput di bumi, takut kepala benjol atau pecah terantuk alang di rumah sendiri.

No comments:

Blog Archive