Sunday, June 21, 2009

Parti Berbilang Kaum - Pembangkang tidak dapat bentuk PAKATAN politik seperti BN: MELESET

BUKAN mudah untuk menjadi parti politik berbilang kaum di Malaysia. Apalagi parti berbilang agama. Dan lebih susah lagi untuk membentuk pakatan politik terdiri daripada parti-parti yang berlandaskan kaum.

Datuk Onn Jaafar telah cuba membuka pintu UMNO kepada bukan Melayu pada tahun 1950, tetapi ditolak mentah-mentah. Ekorannya beliau keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Negara yang tidak dapat bertahan lama.

Idea membuka pintu UMNO kepada bukan Melayu terpendam selama 41 tahun sehinggalah pada tahun 1991 apabila parti Melayu terbesar itu membenarkan kaum bumiputera bukan Islam menjadi ahli iaitu orang-orang Siam di Perlis, Kedah dan Kelantan serta kaum bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Oleh kerana bilangan bumiputera bukan Islam ini kecil, UMNO terus menjadi parti dominan Melayu hingga kini.

DAP memutuskan menjadi parti berbilang kaum sejak lama dengan membuka pintu kepada orang-orang bukan Cina, tetapi hingga kini ia tetap menjadi parti dominan Cina. Walaupun ada satu dua tokoh Melayu, India dan Sikh di dalamnya, namun imej parti berbilang kaumnya tidak tertonjol.

Gerakan juga merupakan parti berbilang kaum pada dasarnya, tetapi pada realitinya ia terus menjadi parti dominan Cina. Pemimpin parti itu sedar yang kebanyakan sokongan datang daripada kaum Cina yang tidak mahu menyertai MCA ataupun DAP.

Pengalaman DAP dan Gerakan yang telah begitu lama mahu menjadi parti berbilang kaum tetapi belum berjaya sepenuhnya, menceritakan hakikat sebenar politik Malaysia. Rakyat negara ini masih terus mahukan parti yang berlandaskan satu kaum sahaja.

Pari terbaru yang mewarani poltik tanah air Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga adalah parti berbilang kaum. Sejauh mana parti ini dapat benar-benar menjadi parti berbilang kaum masih belum dapat dipastikan. Apakah ia juga akan menjadi seperti DAP dan Gerakan, hanya masa menentukan.

Perkembangan paling mutakhir ialah Pas bercadang membuka keahliannya kepada bukan Islam. Pas yang menonjolkan dirinya sebagai parti Islam sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951, kini berura-ura untuk menjadi parti berbilang agama.

Di akhir muktamar parti tersebut di Kuala Lumpur suatu masa dahulu, mantan Naib Presidennya Hassan Shukri memberitahu yang Pas sudahpun menyiapkan satu cadangan pindaan perlembagaan untuk membuka parti itu kepada bukan Islam sebagai ahli bersekutu., kemudian cadangan ini dibawa ke muktmar yang ke-55 di Shah Alam yang baru sahaja melabuhkan sauhnya.

Apa yang sangat menarik ialah betapa sebuah parti yang selama ini "tidak mahu berkawan dengan kafir'' dan menuduh UMNO "kurang Islam'' kerana berganding dengan bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN), kini berhasrat untuk membuka pintu parti itu kepada bukan Islam. Tok Guru Hadi Awang, menyamakannya dengan kilang pakaian semasa mejawab satu soalan semasa sesi soal jawab di Cirus Hotel London pada 13/6/2009 yang lalu. Menurut TGHA, proses membuat pakaian melibatkan banyak pihak, bukan berlandaskan agama.

Setakat ini sudah kedengaran pro dan kontra ahli-ahli Pas yang memberi pandangan . Bekas Penasihat Undang-undang Pas, Datuk Wan Mustapha Ali dan sekarang ini Setiausaha Agung pada suatu masa dahulu PERNAH berkata yang beliau akan keluar Pas jika parti itu menerima bukan Islam sebagai ahli. Beliau percaya ramai lagi ahli Pas akan meninggalkan parti itu kerana tindakan tersebut dilihat sebagai mengkhianati perjuangan asal Pas.

Kumpulan yang menyokong cadangan ini diketuai oleh Husam Musa, mencoba agar cadangan ini diterima pada muktamar ke-55 PAS, namun cadangan ini belum menadapat persetujuan kerana usahanya menjatuhkan Ustaz Nasaharudin Mat Isa tidak kesampaian.

Cadangan ini akan meletakkan ahli-ahli Pas dalam keadaan tidak menentu. Ia memperlihatkan pertembungan dua kumpulan dalam Pas yang jelas iaitu golongan modenis YANG LEBIH DIKENAL SEBAGAI KELOMPOK ERDOGAN yang mahukan pembaharuan dan golongan konservatif yang mahu menjaga Pas terus kekal dengan perjuangan Islamnya.

Jika cadangan itu diterima bermakna Pas tidak lagi boleh mendakwa ia sebuah parti Islam, tetapi ia adalah parti berbilang agama. Apa perasaan ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi? Mereka selama ini berkempen menggunakan nama Islam, apakah bunyi kempen mereka kali ini?

Walau apapun hujah yang diberikan oleh para pemimpin parti itu, Pas ternyata mengambil keputusan paling berat yang menukar sama sekali haluan parti itu daripada matlamat asal penubuhannya.

Apakah orang-orang bukan Melayu berminat menyertai sebuah parti berbilang agama? Ini satu perkembangan menarik untuk dilihat. Kalau PKR menarik orang-orang bukan Melayu (berdasarkan kaum), Pas mahu menarik orang bukan Islam (berdasarkan agama).

Dari komen yang didengari hingga kini, bukan Islam nampaknya tidak berminat menyertai sebuah parti berbilang agama yang mengenakan label Islam. Bukan setakat itu, mereka berhak merasa tersinggung dengan cadangan itu yang meletakkan taraf mereka sebagai ahli kelas ketiga selepas wanita Pas menjadi ahli kelas kedua.

Mereka hanya dibenarkan menjadi ahli bersekutu yang ada hak menjadi calon menggunakan lambang Pas, tetapi tidak ada hak memegang jawatan dalam parti serta hak menentukan pucuk pimpinan parti. Tidak mungkin orang bukan Islam mahu diperbodohkan sehingga begitu sekali. Sekiranya pun terjadi motif tersirat kelompok tersebut adalah menjadi tandatanya besar.

Cadangan pindaan perlembagaan itu bukan saja mengubah imej Pas, tetapi juga akan memberi kedudukan yang berbeza dalam pakatan pembangkang. Jika Pas meluluskan pindaan perlembagaan itu, bermakna dalam pakatan pembangkang terdapat tiga parti yang merebut ahli daripada kumpulan yang sama.

Kalau kini hanya DAP dan PKR merebut ahli bukan Melayu, kelak Pas terlibat sama dalam perebutan itu. Kalau BN memberi tanggungjawab untuk menarik undi Melayu kepada UMNO, undi Cina kepada MCA dan Gerakan, undi India kepada MIC, Kadazan kepada PBS serta parti-parti lain di Sarawak yang berasaskan kaum ini nampaknya tidak berlaku dalam pakatan pembangkang.

Cadangan Pas itu serta penubuhan PKRl sebagai parti berbilang kaum membuktikan yang kedua-dua parti itu tidak yakin dengan DAP untuk membawa undi Cina kepada pakatan pembangkang.

Dalam suasana yang begini, apakah akan wujud pakatan pembangkang yang kuat? Apakah ikatan tiga parti ini melalui PAKATAN akan bertahan lama? ataukah ikatan longgar untuk mencapai objektif jangka pendek? ataukah ikatan ini hanya berdasarkan GERAM DAN DENDAM ?

Pakatan pembangkang yang dinamakan Gagasan terbentuk ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Isu Anwar menjadi faktor penyatu. Apabila Anwar tidak lagi menjadi isu, apa akan jadi pada Gagasan?

Perbalahan antara DAP dan PKR suatu masa dulu walaupun telah menajdi catitan akademik berhubung kemasukan bekas Ketua DAP Sarawak, Sim kwang Yang yang dipecat kerana dituduh merancang menggulingkan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang, sebagai ahli PKR adalah permulaan kepada drama rebutan ahli antara ahli-ahli pakatan pembangkang. Perbalahan lama antara Pas dan DAP mengenai pembentukan negara Islam masih belum selesai hingga kini.

Kenapa pakatan politik seperti BN boleh kekal, sedangkan pakatan politik pembangkang seperti APU tidak dapat bertahan lama?

Kebanyakan pakatan politik pembangkang dibuat berdasarkan perasaan kecewa, dendam, marah, benci. Sedangkan BN yang asalnya Perikatan dibentuk di atas asas yang murni iaitu untuk membolehkan negara mendapat kemerdekaan daripada British.

Pihak Inggeris memberi syarat supaya ketiga-tiga bangsa - Melayu, Cina dan India bersatu, barulah mereka akan memberi kemerdekaan. Mereka mengenakan syarat ini dengan harapan supaya kemerdekaan akan lebih lambat lagi, kerana dalam perkiraan British tidak mungkin orang-orang Melayu, Cina dan India boleh bersatu.

Tetapi Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan telah melakukan satu "keajaiban'' dengan berjaya membentuk sebuah pakatan politik, - Perikatan - yang bukan saja berjaya mendapatkan kemerdekaan, tetapi telah berjaya meletak asas politik yang baik bagi Malaysia hingga ke saat ini.

Pakatan pembangkang dibentuk hanya untuk menghadapi pilihan raya, sedangkan BN untuk menyatukan rakyat negara ini di bawah satu payung politik yang lebih besar. BN memberi hak kepada 14 buah parti komponennya yang berlandaskan kaum mewakili kaum masing-masing dalam menjaga kepentingan mereka.

Inilah asas kekuatan BN dan kekuatan inilah yang memberi kestabilan politik kepada Malaysia sejak merdeka sehingga negara dapat dibangunkan dalam keadaan aman. BN muncul sebagai satu-satunya pakatan politik yang paling berjaya sekali di dunia sehingga kini, walaupun keputusan PRU-12 ternampak ada krisis yang melanda gabungan 14 parti ini (hanya di Sememanjung).

Setiap kali pilihan raya, pembangkang akan cuba membentuk satu pakatan tetapi semuanya tidak kekal lama. Dalam pilihan raya 1990 mereka menubuhkan Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). APU - pakatan Pas dan Semangat 46 - berjaya menawan Kelantan, tetapi kini telah menjadi sejarah. Berasaskan kepada pengalaman itu, defacto leadar PAKATAN DSAI memcoba meneruskan memontum sokongan kepada PAKATAN dengan berbagai strategi dan taktik termasuklah mengistiharkan bahawa 16 Sep 2008 adalah hari PAKATAN mengambil alih kerajaan persekutuan, melakukan pengosongan kawasan-kawasan tertentu agar pilihanraya kecil dapat diadakan, memainkan isu-isu perkauman, pendidikan, ISA, kehakiman, polis dan sebagainya.

Hakikatnya adalah sangat sukar membentuk pakatan politik yang berjaya. Dalam konteks pilihan raya, BN telah dapat menyelesaikan masalah mencari formula pembahagian kerusi sejak pilihan raya pertama pada tahun 1951 lagi. Berasaskan kepada panduan ini, semasa PRU-12 buat pertama kalinya PAKATAN berjaya mengelak bertembung sesama sendiri, walau terdapat satu-dua kawasan di mana pertembungan telah berlaku.

Faktor kejayaan PAKATAN sepakat meletakan calon dan mengelak pertembungan sesama sendiri merupakan bayang-bayang yang paling negerunkan UBN kerana seolah-olah senjata makan tuan telah berlaku. Jika dahulu pertembungan sesama sendiri merupakan masalah pembangkang, masa ini perkara ini tidak lagi berlaku.

Berupayakah UBN mencari penempis fenomina ini, ataukah UG sebagai satu jawaban???

No comments:

Blog Archive