Friday, April 17, 2009

Tolak Ansur dan Saingan Kaum

Mukadimah

Sejak akhir-akhir ini, gejolak antara kaum telah menjadi-jadi, apatak lagi hasil tiupan parti-parti yang ingin menonjolkan parti masing-masing agar supaya mendapat sokongan rakyat. Akibat, kegahiraan tersebut, maka isu perkauman ditonjolkan demi membangkitkan semangat kaum-kaum masing, sehinggakan asas pembentukan negara ini diketepikan. Berdasarkan kepada gejala ini, eloklah kita ikuti hasil tulisan Dr Hassan Ahmad di bawah ini yang membicarakan serba ringkas sejarah pembentukan negara kita.

Oleh DR. HASSAN AHMAD

SERING kita mendengar orang berkata bahawa penduduk pelbagai kaum atau bangsa, agama, budaya dan bahasa di Malaysia selama ini dapat hidup ``bersatu padu, aman dan damai'' kerana adanya semangat ``tolak ansur''. Siapakah yang bertolak ansur dan siapakah yang tidak bertolak ansur atau yang menjadi mangsa tolak ansur itu - isu ini makin terasa sejak mutakhir ini.

Sebenarnya, tolak ansur ini merupakan salah satu ``formula khusus'' yang dipersetujui antara orang Melayu dengan kaum-kaum lain semasa Persekutuan Tanah Melayu hendak mencapai kemerdekaan dahulu. Formula itu ialah, orang Melayu bersetuju untuk memberikan hak kerakyatan kepada kaum-kaum bukan Melayu yang berada di Tanah Melayu berdasarkan prinsip jus soli. Sebagai balasannya, kaum-kaum lain itu diminta menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini, bersetuju supaya Islam dijadikan agama rasmi negara, dan menerima beberapa ``hak istimewa'' Melayu, misalnya dalam bidang perkhidmatan awam.

Sebenarnya, istilah ``hak istimewa'' orang Melayu itu tidak sesuai digunakan, kerana istilah ini boleh membayangkan atau boleh disalahtafsirkan oleh orang lain bahawa orang Melayu telah mengisytiharkan dirinya sebagai bangsa yang ``istimewa'', sebagai golongan kelas pertama, manakala kaum-kaum lain jatuh ke tahap kelas kedua dan ketiga.

Padahal apa yang dikatakan ``hak istimewa'' orang Melayu itu adalah ``hak'' yang diwarisi oleh bangsa Melayu dalam sejarahnya sejak ratusan tahun dahulu, sebelum kedatangan bangsa-bangsa lain di rantau Melayu ini. Misalnya, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa kerajaan Melayu, bukan sahaja di Tanah Melayu bahkan di seluruh rantau yang disebut rantau kepulauan Melayu ini sejak sekurang-kurangnya abad ke-12 lagi. Agama Islam juga adalah agama yang dominan di rantau ini.

Jadi, apa yang berlaku ialah warisan atau sejarah ini dikekalkan dalam negara Melayu yang merdeka, yakni yang dibebaskan daripada penjajahan British. British menjajah Tanah Melayu, negeri dan kerajaan Melayu dan bangsa Melayu, bukan negeri, kerajaan dan bangsa bukan Melayu. Hal ini memang disedari oleh kaum-kaum bukan Melayu, maka kerana itulah apabila orang Melayu bangkit menentang gagasan atau muslihat Malayan Union dalam tahun 1946-1948, kaum-kaum lain tidak menyokong atau tidak ikut menentangnya; mereka menganggap bahawa Malayan Union itu adalah masalah antara orang Melayu, kerajaan Melayu, raja-raja Melayu, dengan kerajaan British, bukan masalah mereka. Lagipun, pada masa itu mereka bukan rakyat Tanah Melayu, yakni bukan rakyat raja-raja Melayu, jadi tentulah rasa taat setia kepada kerajaan atau raja Melayu tidak ada dalam hati mereka. Mengapa mereka mesti menentang British untuk mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu?

Tetapi oleh kerana salah satu isu yang dibangkitkan oleh pihak British ialah isu perpaduan kaum setelah pihak British meninggalkan Tanah Melayu (seolah-olah semasa British memerintah negeri ini, kaum-kaum itu bersatu padu) maka orang Melayu dan pemimpin kaum-kaum lain bersetujulah mencari `formula'nya. Dari situlah timbulnya semangat tolak ansur tadi, dan sebahagian daripada formula tolak ansur ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang digubal oleh Suruhanjaya Reid yang anggotanya semuanya orang luar, dari England, dari India, Pakistan dan Australia - tidak ada seorang pun wakil Melayu atau wakil kaum-kaum lain yang duduk dalam suruhanjaya itu.

Selain formula yang diperlembagaankan itu, terdapat pula tolak ansur lain, misalnya, kuasa politik dan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu hendaklah dikongsi oleh orang Melayu dengan orang bukan Melayu. Maka dibentuklah Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC yang memerintah negara ini dari tahun 1957 hinggalah ke hari ini. Teras parti atau kerajaan Barisan Nasional yang ada sekarang ialah perikatan UMNO-MCA-MIC yang dahulu itu.

Jadi, kalau Malaysia mahu terus menjadi negara yang dikatakan ``aman dan damai'', penduduk pelbagai kaumnya hidup ``bersatu padu'', maka formula tolak ansur yang asal itulah yang patut dipertahankan dan dihormati, jangan dipersoalkan, dijadikan isu lagi dan dicairkan dengan pelbagai tuntutan dan desakan yang lain, atau dimusnahkan dengan pelbagai tolak ansur lain yang dibuat oleh mana-mana kaum berdasarkan kepentingan politik, budaya dan ekonomi etnik masing-masing.

Istilah tolak ansur ini, dari segi maksud harfiahnya, boleh ditafsirkan berdasarkan perasaan dan kepentingan pelbagai pihak, dan orang tidak semestinya selama-lamanya menerima ``formula'' yang asal itu. Cuba kita lihat ragam-ragam makna dan implikasi psikologi istilah ini yang boleh timbul dalam situasi perhubungan etnik, politik, budaya dan sosial di negara ini.

Istilah tolak ansur terdiri daripada dua perkataan yang mempunyai makna yang berlainan, iaitu ``tolak'' dan ``ansur'', Perkataan ``tolak'' bermacam-macam maknanya. Makna asasnya ialah `mendorong' atau `menyorong'. Apabila kita menolak sesuatu, kita menggerakkan sesuatu itu dari tempat asalnya ke tempat lain, atau kita mengalih kedudukannya. Misalnya, menolak kereta yang enjinnya tiba-tiba mati kerana bateri lemah, atau menolak meja atau kerusi. Tetapi perbuatan ini tidak sampai menyebabkan benda yang ditolak itu tumbang atau jatuh. Tetapi perkataan ``menolak'' juga bererti perbuatan yang boleh menyebabkan sesuatu atau seseorang jatuh, tersungkur, tumbang, dan tergolek. Misalnya, kita boleh menolak seseorang yang sedang berada di tepi parit atau di tepi kolam, sehingga menyebabkan dia jatuh ke dalam parit atau kolam itu. Tolak juga boleh bererti `mengurangkan'. Misalnya, ``10 tolak 8'' jadi 2. Dalam bahasa Melayu, makna ini digunakan dalam ilmu kira-kira. Maknanya sama dengan perkataan Inggeris minus atau subtract, lawannya `campur' atau `tambah' (dalam bahasa Inggeris plus atau add).

Perkataan tolak dalam bahasa Melayu juga boleh bererti `tidak mahu menerima sesuatu' atau `membuang sesuatu'. Misalnya, `pinangannya ditolak orang', atau `permohonannya untuk mendapat pekerjaan itu ditolak kerana dia tidak fasih berbahasa Inggeris', `calon itu ditolak pengundi', `menolak rezeki', dan lain-lain lagi. Perkataan ini juga digunakan secara metafora atau kiasan, misalnya dalam ungkapan seperti `menolak ombak' dan `menolak angin' (maksudnya, melakukan kerja yang sia-sia). Simpulan bahasa ``tolak tepi'' bererti tidak dipedulikan orang, atau dipinggirkan.

Lawan perkataan tolak ialah perkataan ``tarik''. Apabila kita menarik sesuatu kita melakukan perbuatan menghela sesuatu itu supaya bergerak ke arah kita. Simpulan bahasa ``tarik tali'' bererti sekejap mahu mengalah, sekejap tidak.

Perkataan ``ansur'' pula bererti `sedikit demi sedikit', misalnya dalam ayat seperti `keadaan ekonomi negara beransur baik', `hutang kereta (atau rumah) dibayar secara beransur-ansur tiap-tiap bulan'. Perkataan ansur juga bererti bergerak meninggalkan sesuatu tempat sedikit demi sedikit, yakni tidak serentak, misalnya `para tetamu mulai beransur meninggalkan majlis'.
Jadi, kalau kita melihat makna istilah tolak ansur ini berdasarkan makna kata-kata yang membentuk istilah ini, bermacam-macam maknalah yang dapat kita berikan kepada istilah ini. Istilah ini baru wujud dalam bahasa Melayu. Menurut kamus, ungkapan ini bermakna `saling menuruti atau saling memberi, atau berkompromi. Maksudnya barangkali sama dengan maksud ungkapan bahasa Inggeris give and take, makna harfiahnya ialah, memberi dan menerima, tetapi makna simpulan katanya ialah `beralah' atau `mengalah'. Kata akarnya ialah ``alah'' yang bermakna kalah atau tewas.

Tidak merugikan

Apabila seseorang itu beralah atau mengalah, dia menyerahkan kehendaknya kepada kehendak orang lain. Si suami boleh jadi mengalah kepada kehendak isterinya, boleh jadi kerana si suami itu terlalu menyayangi isterinya, lalu beralah atau mengalah kerana tidak mahu menyakiti hati isterinya dalam hal-hal tertentu. Orang yang berasa dirinya tidak akan rugi kalau dia beralah kepada orang lain, misalnya dalam pertengkaran atau perbahasan, maka dia akan beralah. Dalam hal ini, beralah belum tentu bererti `kalah'. Orang yang beralah itu boleh jadi hanya pura-pura ``mengalah''. Tetapi ``mengalah'' boleh bererti mengaku kalah.

Bertolak ansur, kalau menurut makna asalnya, boleh bermakna `beralah'', dan boleh juga bererti ``mengalah''. Dalam perundingan diplomasi, misalnya, sering berlaku perbuatan `sorong tarik'; satu pihak cuba mempertahankan pendiriannya, pihak yang lain cuba memujuk untuk mendapatkan sedikit sebanyak `konsesi'. Biasanya, pihak yang berasa dirinya kuat, tidak mahu mengalah, malah tidak mahu beralah. Pihak yang lemahlah yang biasanya selalu beralah dan akhirnya mengalah. Tolak ansur ``yang adil'' hanya berlaku antara pihak-pihak yang berasa bahawa tolak ansur itu tidak akan merugikan pihak masing-masing. Jika satu pihak berasa dirinya kuat, yang satu lagi lemah, tolak ansur selalunya akan menguntungkan pihak yang kuat itu. Pihak yang lemah tidak ada kuasa dan pengaruh untuk memaksa pihak yang kuat supaya beralah atau mengalah kepadanya. Contoh yang baik ialah, konfrontasi Amerika terhadap Iraq atau terhadap Saddam Hussein: Apa pun kehendak Amerika, termasuk kehendaknya yang terang-terang jahat, Iraq tidak mempunyai kuasa tentera untuk menentang kehendak itu. Beralah dia rugi, mengalah lebih lagi ruginya. Seperti kata pepatah Melayu, menang jadi arang, kalah jadi abu.

Jadi, soal menang kalah dalam dunia hari ini tidak lagi bergantung pada taktik tolak ansur tetapi bergantung pada kuasa, kekuatan (baik kekuatan politik, ekonomi, mahupun kekuatan tentera dan senjata perang) dan daya saingan. Di Malaysia sekarang, kita perhatikan bahawa orang Melayu tidak dapat dikatakan bangsa yang mampu bertolak ansur lagi, kerana sebagaimana kita tahu, masalah yang dihadapi oleh orang Melayu hari ini, dalam hampir semua lapangan, makin lama makin serius. Setelah sekian lama merdeka - kemerdekaan yang dituntut oleh orang Melayu setelah mereka menentang Malayan Union - orang Melayu masih lemah dalam bidang ekonomi, berbanding dengan kaum-kaum lain. Bangsa Melayu tidak menguasai sektor swasta - sektor pembangunan negara ini. Pengaruh sektor awam atau sektor pentadbiran awam yang masih didominasi oleh orang Melayu tentunya bergantung pada kecekapan dan keberkesanan birokrasinya untuk mengawal kuasa sektor swasta yang kian berpengaruh dalam menentukan kemajuan kaum-kaum di negara ini dalam bidang ekonomi, perniagaan dan teknologi.

Dalam bidang pendidikan, masalah orang Melayu tidak habis-habis. Walaupun kemajuan orang Melayu dalam bidang ini sudah jauh lebih baik daripada keadaannya sebelum kemerdekaan, tetapi jurang ketidakseimbangannya dengan kemajuan kaum-kaum lain dalam bidang ini makin lama makin meluas. Dalam bidang politik kuasa demokrasi Melayu tidak lagi sekuat dahulu. Para pemimpin politik Melayu sendiri mengakui keadaan ini apabila mereka berkata bahawa orang Melayu terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk terus berkuasa atau berkongsi kuasa di negara ini. Dalam BN hanya ada parti UMNO sahaja, tidak ada parti Melayu lain. Ini bererti, lemah UMNO lemahlah kuasa politik dan kuasa pemerintahan Melayu. Apakah ada alternatif lain?

Dalam situasi seperti ini, gagasan bahawa orang Melayu mesti mengekalkan ``ketuanan''nya atau menjadi bangsa contoh di negara ini, tidak akan bermakna lagi. Akibatnya nanti, formula tolak ansur yang dipersetujui dalam tahun 1957, seperti yang tersebut di atas, boleh sahaja ditolakansurkan lagi melalui persaingan yang lebih pragmatik. Bangsa yang lemah tidak mampu bertolak ansur secara beralah atau secara mengalah. Mereka akan menghadapi masalah untuk mengekalkan apa jua hak yang masih ada padanya dalam dunia yang nasibnya tidak lagi dapat diselamatkan melalui ideologi tolak ansur yang formal itu, melainkan diselamatkan melalui kecekapan bangsa itu, melalui daya saingnya dalam segala bidang, dan lebih penting lagi melalui kecekapan dan kebijaksanaan para pemimpinnya. Para pemimpin yang tidak mempunyai mutu moral yang tinggi, para pemimpin yang korup, misalnya, pasti tidak akan dapat menyelamatkan bangsanya.

Walhasil, tolak ansur tidak sama dengan perbuatan sorong papan tarik papan atau seperti permainan tarik tali, satu pihak melonggarkan tarikan talinya, yang satu lagi menarik tali yang sudah longgar itu. Jika ``permainan diplomasi'' seperti ini terus berlaku di negara ini, belum tentulah perpaduan antara kaum akan dapat berkekalan.

No comments:

Blog Archive