KLANG 26 April – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta mengkaji semula kaedah bantuan kepada kumpulan sasar kerana orang yang memiliki kereta mungkin berhak menerima bantuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pendekatan yang digunakan sekarang seharusnya tidak menyukarkan kumpulan itu untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, masalah yang membabitkan kumpulan berkenaan iaitu orang miskin, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pesakit mesti diberi perhatian sewajarnya.Katanya, bantuan yang disalurkan perlu realistik kerana pada masa ini memiliki televisyen atau peti sejuk bukan lagi boleh dianggap barangan mewah.Malah katanya, memiliki kereta atau motosikal juga merupakan keperluan dan perlu diambil kira oleh JKM. “Jadi perkara ini perlu dikaji. JKM pada saya paling mustahak kerana ia mendampingi masyarakat, kalau kita bagus rakyat dapat faedah, kalau kita kurang bagus, kita bakal berhadapan risikonya,” katanya.
Katanya, bagi memastikan sistem bantuan dan penyampaian JKM itu berjalan lancar, beliau akan berada di pejabat untuk memastikan urusan pentadbiran mengikut perancangan.
Shahrizat memberitahu, selebihnya iaitu 90 peratus waktu kerja akan diperuntukkan kepada program turun padang dalam usaha mendampingi rakyat.
Beliau juga, katanya, akan membuat lawatan mengejut ke sesuatu kawasan bagi melihat sendiri kemajuan yang dicapai.‘‘Ini perlu dilakukan kerana 90 peratus kumpulan sasar berada di peringkat akar umbi,’’ ujarnya.
Secara keseluruhan, katanya, pegawai-pegawai JKM menjalankan tugas dengan baik.
‘‘Cuma banyak orang memerlukan bantuan, tetapi ini tidak harus dijadikan alasan kerana kalau orang perlu bantuan, kita kena bantu mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment