Thursday, April 16, 2009

Najib: Slogan Kerajaan

One Malaysia, People First and Performance Now: Antara slogan dan tindakan

Datuk Seri Najib menguraikan serba ringkas apa yang dimaksudkan tentang konsep: One Malaysia, People First and Performance now selepas mempengerusikan masyuarat pertama kabinetnya. Dalam uraian tersebut tersingkap, bahawa pendekatan silang antara kaum di Malaysia merupakan paksi konsep ini. Melalui konsep ini, maka perasaan kebersamaan antara berbagai kaum dapat dipupuk dengan cepat dan mesra.

Melalui konsep ini, budaya aku, awak dan kamu diketepikan, sebaliknya konsep kita yang digunapakai.

Dalam menerapkan dan memperkayasa konsep ini, maka penyusunan semula masyarakat terutama dari segi budaya, pendekatan malah perilaku harus diwujudkan melalui tindakan yang tersusun dan terstruktur agar tidak terjadi pertembungan budaya antara suku kaum.

Dalam perjalanan menerapkan konsep ini tentunya melalui tindakan, maka seluruh kaum di negara ini akan mengalami kejutan budaya yang luarbiasa, kerana faktor-faktor berikut:-

Budaya aku, awak dan kamu telah menjadi anutan harian rakyat negara ini sejak merdeka lagi. Penubuhan parti-parti yang berasaskan kaum memperkuat lagi pengembangan budaya ini. Penonjolan individu-individu yang berpaksikan kaumnya telah berleluasa sedemikian rupa, sehinggakan pada suatu ketika dahulu pernah menjadi titik hitam dalam sejarah negara.

Pengenalan konsep pembangunan manusiawi apakah melalui pendekatan keagamaan, ekonomi, pendidikan dan pembangunan fizikal yang masih digunapakai disemua peringkat lapisan pentadbiran negara yangmana pada masa ini masih berpaksi kepada budaya aku, awak dan kamu.

Taburan pembangunan fizikal, pembangunan mental dan spritual yang berpaksikan kepada perlembagaan menucorakkan lagi, budaya aku, awak dan kamu.

Sistem pengambilan kakitangan baik kerajaan maupun swasta, juga terasa sangat pekatnya lagi budaya aku, awak dan kamu.

Taburan penduduk terutama di kampung-kampung baru dan bandar-bandar baru, merancakkan lagi budaya aku, awak dan kamu.

Pengekalan dan atau mungkin pengenalan sekolah-sekolah yang bercorak perkauman,merupakan puncaknya budaya aku, awak dan kamu.

Pengelompokan maklumat dalam penentuan etnik dan agama dalam borang-borang rasmi kerajaan, juga memperkaya budaya aku, awak dan kamu.


Cabaran-cabaran budaya, atau paling tidak kebiasaan harian rakyat di negara ini berasaskan kepada faktor-faktor di atas, merupakan titik tolak berjayakah konsep ini untuk membentuk rakyat negara ini kepada budaya KITA, sehingga terwujudlah masyarakat Malaysia yang bersifat KEKITAAN. Atau, apakah konsep ini akan terbujur sama seperti slogan-slogan yang pernah lahir seumpamanya; lebik baik sama-sama kita tunggu hasilnya disuatu masa kelak.

No comments:

Blog Archive