Sunday, October 18, 2015

Sidang Parlimen: Akan Tembus kah Undi Tidak Percaya Pada DS Najib?

1. Jika menurut 'order paper" parlimen untuk persidangan Parlimen yang bersidang pada Isnin-19 Oktober, tersenarai usul undi tidak percaya kepada DS Najib pada urutan ke-25 daripada 28 usul bagi bacaan pertama. Usul undi tidak percaya itu dikemukakan oleh MP DAP daripada Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian.

2. Walaupun usul undi tidak percaya kepada DS Najib dibenarkan untuk dibaca pada kali pertama, ianya akan tembus, jika disokong oleh 112 ahli parlimen. Adalah diyakini kesemua 88 ahli parlimen pembangkang termasuk seorang ahli bebas akan menyokong usul tersebut, jika sampai kepada peringkat belah bahagi (pengundian). Ahli pembangkang memerlukan 24 sokongan MP Bn bagi menjamin usul tersebut sukses.

3. Jika usul undi tidak percaya berjaya dibaca pada kali pertama bagi persidangan parlimen untuk kali ini, maka ianya menjadi rekod julung kalinya seseorang Perdana Menteri cuba ditumbangkan melalui cara itu dalam negara ini.

4. Meskipun usul itu, bakal kecundang, memandangkan 134 MP Bn masih "intake' termasuk 3 MP yang dianggap bermasalah terhadap DS Najib-iaitu Tan Sri Muhiyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Shafie Apdal, namun mereka ini tidak akan mampu membawa 21 MP lain bagi menyokong usul tersebut.

5. MP Bn, belum boleh bertindak seperti mana berlaku di Australia, di mana sesama mereka dalam sebuah parti berpakat untuk menjatuhkan Perdana Menteri, seperti mana berlaku pada Tony Abbot. MP Bn, masih terikat dengan tradisi keputusan PRU.

6. Sebab musabab yang dikemukakan bagi usul tidak percaya kepada DS Najib sebagai Perdana Menteri, antara lain berkaitan dengan wang RM2.6bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi beliau. Selain itu, pembubaran Pasukan khas penyiasat 1MDB, pemecatan Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara, serta tindakan terhadap beberapa pegawai SPRM yang menyiasat 1MDB.

7. Juga melalui usul itu, akan ditambah dengan tambahan fakta berkaitan 1MDB, khususnya JV dengan PetroSaudi yang gagal, kerana melalui JV tersebut, berlaku satu penipuan oleh pegawai 1MDB. Juga, akan dikemukakan bahawa JV antara 1MDB dan PetroSaudi adalah satu skim penipuan untuk mendapatkan wang 1MDB.

8. Adalah diramalkan, bahawa usul undi tidak percaya terhadap DS Najib bakal ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, meskipun tersenarai sebagai usul, namun para MP yang mahu mempergunakan 1MDB sebagai bahan mereka untuk berbahas, akan mendedahkan berbagai fakta penting berkaitan syarikat milik Kementerian Kewangan itu. Selain itu akan mendedahkan sejauh mana pengelibatan DS Najib dalam kemelut 1MDB.

9. Juga, melalui persidangan Parlimen kali ini, besar kemungkinan, nama penyumbang RM2.6bilion kepada DS Najib bakal diketahui, tujuannya untuk menyelamat kedudukan Perdana Menteri.

10. Persidangan Parlimen pada kali ini, akan turut sama mendengar pembentangan Bajet tahun 2016 pada 23 Oktober, bajet penting untuk RMK-11.

No comments:

Blog Archive