Friday, June 20, 2014

Malaysia Bukan Negara Sekular- Tan Sri Pandikar

Dewan Rakyat semalam diberitahu bahawa negara ini bukan negara sekular, meskipun undang-undang yang digunapakai adalah undang-undang sekular.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, Mengambil contoh kes Che Omar bin Che Soh lawan Pendakwaraya (1988), beliau berkata Mahkamah Agung tidak pernah memutuskan atau mengisytihar negara ini sebagai negara sekular.

"Apabila saya rujuk kepada kamus Oxford mengenai maksud sekular, ia bermaksud 'sekular tidak berkaitan dengan perkara agama dan kerohanian'.

"Oleh itu, kedudukan Malaysia adalah berbeza dengan negara sekular seperti Amerika Syarikat, India atau Turki yang jelas memperuntukkan elemen sekular di dalam Perlembagaan mereka," katanya.

Berdasarkan fakta-fakta itu, Pandikar berkata Malaysia bukan negara sekular kerana Islam termaktub sebagai agama rasmi Persekutuan, dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Pandikar memberi pandangan demkian pada Khamis ketika menolak usul untuk merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan kenyataan beliau bahawa Malaysia bukan negara sekular.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata permohonan usul yang dibentangkan oleh Oscar Ling (DAP-Sibu) tidak memenuhi syarat-syarat kerana beliau tidak mendapati prima facie terhadap kenyataan Jamil Khir.

Beliau berkata seseorang menteri yang ingin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen perlu mematuhi tiga kriteria seperti termaktub mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (12), iaitu kenyataan dibuat adalah salah, tidak berusaha memperbetulkan kenyataan itu dan mempunyai niat tidak baik.

"Apabila saya meneliti fakta di hadapan saya, saya mendapati tiada kes prima facie. Ini adalah pandangan saya dan mendapati beliau tidak berniat untuk mengelirukan Dewan. Jadi tiada sebab untuk merujuk beliau kepada jawatankuasa," jelas Pandikar.

No comments:

Blog Archive