Sunday, March 30, 2014

Royalti Minyak Untuk Sabah- Ikuti Pandangan Pemimpin Sabah Sebelum Ini

BN Sabah: Petronas muflis jika royalti minyak 15%
3 Januari 2013

KOTA KINABALU - Setiausaha Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengingatkan rakyat bahawa janji pembangkang untuk menaikkan 15 peratus royalti minyak kepada Sabah akan akhirnya menjejaskan kewangan Petronas "yang boleh membawa kepada muflis."

Beliau menegaskan bahawa berdasarkan formula semasa, bagi setiap RM100 hasil yang diraih dari minyak Sabah, lima peratus akan ke tabung negeri manakala lima peratus lagi kepada tabung Persekutuan.

"Kira-kira 45 peratus masuk ke dalam kos penemuan dan baki 45 peratus kepada keuntungan kasar usaha sama. Akhirnya, keuntungan Petronas, selepas mengasingkan hasil dengan yang lain dan selepas membayar cukai, hanya kira-kira 16.74 peratus.

"Jika Petronas diminta membayar sehingga 15 peratus daripada margin keuntungannya, ini akan menyebabkan mereka tidak mampu untuk membayar overhed mereka, komitmen kewangan dan pelaburan semula untuk pendapatan masa depan.

"Akhirnya akan memberi tamparan kepada kewangan yang boleh membawa kepada muflis, " katanya di sini pada persidangan akhbar untuk menjawab propaganda palsu pembangkang menjelang pilihan raya umum.

Abdul Rahman berkata perbelanjaan modal, cabaran teknikal dan risiko kewangan perniagaan Petroleum begitu besar dan terlalu tinggi yang 'hanya syarikat-syarikat yang mempunyai kepakaran khusus dan bank akaun yang baik yang berani untuk menyertainya'.

"Bayangkan usaha yang dilakukan untuk menurunkan paip penggerudian, 4.5 kilometer dari paras laut, dalam persekitaran yang sangat tertekan untuk mencari emas hitam.

"Ia memerlukan peralatan khas yang amat mahal dan kepakaran yang hanya dimiliki peserta utama minyak dunia. Kos penggerudian penerokaan boleh sampai sehingga beratus-ratus juta ringgit yang akan rugi sekiranya tiada minyak ditemui di kawasan pilihan," katanya.

"Abdul Rahman berkata Petronas, seperti rakan-rakan di negara membangun yang lain, tidak mempunyai kapasiti untuk menyerap risiko kewangan. Ia tidak bersedia secara kewangan untuk membelanjakan berbilion-bilion kepada penyelidikan dan pembangunan serta mengambil risiko kewangan dalam fasa penerokaan dan pengeluaran apabila berbilion-bilion yang sama amat diperlukan untuk dibelanjakan dalam pembangunan negara," katanya. - Bernama

Musa Aman: Isu semakan royalti minyak boleh dibincang secara baik


21 Ogos 2012




PAPAR - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman percaya isu penyemakan semula royalti minyak sebanyak lima peratus yang dibayar kepada Sabah adalah terbuka untuk dibincangkan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan secara baik.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang pemimpin yang amat prihatin dan sedia mendengar suara dan keperluan rakyat.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan juga terbukti memberi manfaat kepada rakyat Sabah melalui pemberian peruntukan yang besar yang banyak membantu menjana sosio ekonomi selain memacu kemajuan negeri ini.

"Oleh itu, saya percaya isu (royalti minyak) terbuka untuk dibincangkan dan apa yang penting ialah kita bincang dengan membuat kajian untuk kita perhalusi dan seterusnya mengambil keputusan yang terbaik demi kepentingan semua pihak yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka bahagian Umno Papar yang dihoskan bersama Anggota Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan dan Adun Pantai Manis Datuk Rahim Ismail di Dewan Masyarakat Papar, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri itu akan berbincang dengan kerajaan pusat mengenai keperluan untuk menyemak semula kadar semasa lima peratus royalti petroleum yang dibayar kepada Sarawak berdasarkan hubungan rapat sedia ada antara kedua-dua pihak.

Sambil bersetuju bahawa pemimpin negeri daripada pihak kerajaan dan pembangkang di negeri itu mencapai kesepakatan berhubung isu itu, Taib berkata kedua-dua pihak perlu duduk berbincang mengenainya.

Awal bulan ini, Najib mengumumkan bahawa sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan jawatankuasa itu diberi enam bulan untuk mengkaji perkara itu sebelum membuat cadangan kepada kerajaan pusat, yang akan menamatkan segala persoalan yang menyelubungi isu pembayaran royalti.- Bernama

23 August 2012
Kajian Royalti Minyak untuk Sabah

NEGARA atau NEGERI mendapat pendapatan samada daripada berbagai cukai atau pungutan seumpamanya atau dalam bentuk royalti.

Bagi negeri yang mempunyai sumber alam, maka pendapatan daripada royalti merupakan pendapatan segera, manakala negeri yang tidak mempunayi sumber alam, maka pendapatan berpunca daripada berbagai bentuk cukai.

Secara umumnya, negara mendapat pendapatan daripada cukai yang menyumbangkan sebahagian besar pendapatan negara; manakala royalti berkisar sekitar 30 bilion setahun, berbanding pendapatan negara yang menghampiri setengah trilion ringgit setahun.

Kini, rakyat negara ini hanya nampak sumbangan royalti terutama daripada minyak dan gas. Di Sabah, perbincangan mengenai royalti bermula sejak tahun 70-an sebelumpun Petronas berkembang maju.

Masalah royalti berlarutan dan hanya pada tahun 1976 persetujuan mengenainya tercapai. Dalam perjanjian itu, negeri-negeri yang mengeluarkan minyak dan gas akan dibayar 5 peratus dalam bentuk royalti. Peratusan itu kekal hingga kini.

Pembangkang mengambil peluang mengenai peratusan royalti minyak, walaupun peratusannya hanya lebih sedikit 10 peratus daripada jumlah pendapatan tahunan negara, berbanding sumber daripada cukai-cukai lain, namun royalti minyak dan gas menjadi "penting" kerana cara pembangkang mempersembahkannya kepada rakyat.

Pembangkang dalam usahanya menarik sokongan rakyat Sabah berjanji akan menaikan royalti daripada minyak dan gas daripada 5% kepada 20% jika mereka berjaya menduduki Putrajaya.

Setelah sekian lama, cadangan pembangkang itu diremehkan oleh para pemimpin BN, sehinggalah Ketua Menteri Sarawak Pehin Seri Taib Mahmod menyuarakan akan meminta kerajaan pusat mengkaji isu royalti minyak bagi negeri-negeri yang mengeluarkan emas hitam itu.

Berikutan suara Ketua Menteri Sabah itu, kini para pemimpin Sabah turut bersetuju dengan cadangan Ketua Menteri negeri jiran itu.

Adalah satu kelajiman dalam ekonomi, jika satu bahagian ditambah, maka akan mengurangkan bahagian lain. Konsep keseimbangan, senantiasa demikian.

Dalam kaedah sekarang, walaupun negeri-negeri pengeluar minyak dan gas mendapat bayaran 5%, namun peruntukan daripada kerajaan pusat terus mengalir.

Kenaikan royalti minyak nampak sedap dipandang dalam jangka pendek, namun secara jangka panjang tidak menguntung negara secara keseluruhan.

Wang yang digunakan untuk menjana pulangan yang besar lebih bermanaafat kepada negara, berbanding jika wang itu digunakan dengan tidak mendapat pulangan.

Hanya secara akademik, perkara ini boleh difahami, bagaimana sumbangan daripada hasil bumi bermanafaat kepada negara; kepada rakyat biasa, mereka hanya melihat angka peratusan sebab 20 itu lebih besar berbanding 5. Apa ada pada angka? umpama wang RM 100,000 dilabur pada sebuah restoran di kampung yang tidak mempunyai pelanggan yang ramai berbanding melabur restoran di KLCC. Fikir-fikirkan lah. sumber

25 August 2012
Wajar Royalti Minyak bagi Sabah dan Sarawak dikaji

SELEPAS 36 tahun kewujudan Petronas, dan selama itu juga minyak dan gas disedut di bumi Sabah dan Sarawak, royalti hanya 5 peratus, sepertimana perjanjian awal.

Kini, para pemimpin Kerajaan daripada Sabah dan Sarawak sudah berani menyatakan kajian semula mengenai royalti secara terbuka, sedangkan sebelum ini kenyataan mengenainya merupakan taboo.

Tahniah kepada Pehin Seri Taib Mahmud yang mencadangkan kajian semula, kemudian disusuli oleh Datuk Seri Musa Aman.

Selepas kenyataan dua pemimpin tertinggi Sarawak dan Sabah itu, kini berbagai lapisan menyuarakan sokongan mereka; walaupun rata-rata tidak menyatakan kadar peratusan yang diminta.

Pihak Pembangkang sejak awal-awal lagi menyatakan, jika mereka dapat merampas Putrajaya, maka kadar royalti minyak bagi Sabah dan Sarawak akan dinaikan ke kadar 20 peratus.

Walaupun telah sekian lama, pihak pembangkang menjadikan royalti minyak sebagai salah satu kempen mereka, hanya selepas bulan ramadhan, pemimpin BN menyuarakan bahawa sudah tiba masanya kajian semula mengenai royalti itu dijalankan.

Sebenarnya, perbincangan berhubung royalti minyak boleh ditafsirkan sebagai "ugutan" kepada kerajaan pusat, akan tetapi berbagai pihak mendakwa bahawa permintaan kajian semula royalti itu, adalah sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan pusat selama ini.

Kenaikan royalti minyak merupakan tanda terima kasih kepada penduduk Sabah dan Sarawak yang senantiasa menjadi penyelamat kepada kerajaan Pusat sejak meredeka lagi, termasuk pada PRU-12 lalu.

Pada PRU-12 lalu, rakyat Sabah dan Sarawak menyumbang hampir 40 peratus kerusi Parlimen kepada kerajaan Pusat untuk mempertahankan kerajaan Persekutuan.

Untuk itu, kajian royalti minyak mempunyai kewajaran dan tepat masanya, agar kadar royalti yang lebih tinggi boleh mempercepat kadar pembangunan dua negeri di timur ini yang sememangnya jauh ketinggalan. sumber

No comments:

Blog Archive