Thursday, December 12, 2013

Pengikut Syiah: Pemimpin No2 Pas itu Adalah Mat Sabu

Baru sebentar tadi Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan 10 bukti untuk mengaitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dengan fahaman Syiah, kata Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan pemimpin nombor dua PAS itu didakwa cenderung dengan fahaman Syiah."Antara bukti itu adalah beliau pernah menggesa umat Islam supaya mencontohi kepimpinan Khomeini menerusi tulisannya bertajuk "Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf, Khomeini" di ruangan akhbar Harakah pada 5 hingga 15 Julai 2008," katanya.

Beliau berkata, selain itu Mat Sabu secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasarullah dan mengaku beliau dan isterinya kerap bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat kali.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2013 Sabtu lalu mendakwa orang nombor dua PAS terbabit dengan fahaman Syiah.

10 bukti yang mengaitkan Timbalan Presiden PAS, Encik Mohamad Sabu dengan fahaman dan aktiviti Syiah didedahkan oleh Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Antara bukti yang didedahkan ialah Mohamad Sabu pernah melafazkan ‘selawat’ penganut Syiah pada satu sesi ceramah PAS di Arau, Perlis pada tahun 2005.

Perkara ini dijelaskan oleh Dr Abdul Aziz Hanafi dalam sesi temuramah yang dilakukan oleh Ustaz Zamihan Mat Zain, pegawai KDN pada 11 Disember 2013.

Mohamad Sabu juga didapati pernah beberapa kali menunaikan solat dengan menggunakan sebiji batu leper di tempat sujudnya seperti solat penganut Syiah, menurut Tuan Guru Haji Abd Rahim dari Sg Jagung, Pendang, Kedah.

Mohamad Sabu juga secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau dan isterinya kerap bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada 4 hingga 5 kali.

Selain itu, beliau juga didapati telah membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar, Wilayah Satun, Selatan Thailand pada tahun 2011. Beliau melakukan kunjungan ke atas pemimpin Syiah dan menghadiri majlis ramah mesra di sana.

Berdasarkan maklumat, beliau didapati telah beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah, Semanggol, Perak pada tahun 2011. Kelas pengajian tersebut dikendalikan oleh dua orang ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di salah sebuah sekolah agama di Gunung Semanggol, Perak.

Beliau pernah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini melalui tulisannya bertajuk ‘Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf, Khomeini’ di ruangan Fikrah, Akhbar Harakah, halaman 16 pada 5 hingga 15 Julai 2008.

Mohamad Sabu juga menyatakan kekaguman dengan kepemimpinan dan perjuangan Khomeini yang mana banyak mencorak pemikiran beliau. Kenyataan ini disampaikan di dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden PAS pada 13 Jun 2011.

Ketika mengulas perutusan sempena Hari Kristian tahun 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, beliau telah menggunakan pendekatan ulama Syiah iaitu Imam Khomeini sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan. Kenyataan beliau ini telah dimuatkan ke dalam Harakahdaily pada 25 Disember 2008.

Dalam sebuah temuramah agensi berita ‘Antara Pos’, Timbalan Presiden JATI Dato’ Aidit Ghazali menjelaskan bahawa Mohamad Sabu merupakan ikon Syiah dan beliau gagal menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan Syiah.

Bukti ke sepuluh ialah sahabat Mohamad Sabu selama 20 tahun, C.N Afghani ketika ditemuramah oleh Ustaz Zamihan, pegawai KDN pada 9 Disember menjelaskan bahawa Mohamad Sabu kerap kali melawat Iran dan pernah terlibat dalam program penghantaran pelajar Malaysia di Qom, Iran.

Menurut Dato’ Sri Abdul Rahim, segala fakta yang dikemukakan jelas menunjukkan bahawa Mohamad Sabu mempunyai kaitan dengan fahaman dan aktiviti Syiah.

Tambahnya, berdasarkan maklumat yang dikemukakan, ini jelas menunjukkan bahawa KDN dan agensi-agensi kerajaan yang lain sentiasa memantau dan peka dengan ancaman kegiatan serta fahaman Syiah yang boleh menjejaskan aspek keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah gejala perpecahan dan keruntuhan nilai persaudaraan ummah.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) KDN, Dato’ Alwi Haji Ibrahim dan Ustaz Zamihan Mat Zain, pegawai KDN.

No comments:

Blog Archive