Latest News

PRK Sungai Limau:Aura Mukriz Mampu Turunkan Majoriti Pas

Kemampuan Barisan Nasional (BN) menguasai 10 daripada 19 daerah mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Isnin selain mengurangkan majoriti kemenangan PAS, menunjukkan keberkesanan sentuhan peribadi parti itu semasa berkempen.

Keputusan PRK DUN Sungai Limau semalam menyaksikan BN menawan empat daerah mengundi baharu iaitu iaitu Sungai Limau dengan majoriti 105 undi, Kabu Sepuloh (55), Kampung Titi Batu (951) dan Padang Lumat (50), di samping mengekalkan enam yang dimenangi pada PRU13 dengan majoriti bertambah.

Daerah mengundi yang dikekalkan adalah Sungai Kering dengan majoriti 202 undi berbanding 178 pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Simpang Tiga (48 - 46), Selengkoh (195 - 119), Sungai Daun (293 - 137), Dulang Kechil (939 - 506) dan Dulang Besar (533 - 187).

Kejayaan mengurangkan majoriti PAS sebanyak 61 peratus atau 1,690 undi berbanding yang diperoleh parti itu pada PRU13 Mei lepas, selain undi kepada BN meningkat sebanyak 4.4 peratus atau 465 undi menunjukkan BN semakin mendapat tempat di hati penduduk DUN Sungai Limau.

Kredibiliti Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang baru enam bulan mengambil alih tampuk pentadbiran negeri Kedah juga dilihat membuka mata masyarakat setempat untuk lebih ramai "berhijrah" menyokong BN dan mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk melihat perubahan sokongan kepada BN.

PAS mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau, yang dikuasai mereka sejak 1995 menerusi bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, menerusi Ketua Pemuda Jerai Mohd Azam Abd Samat yang meraih 12,069 undi mengatasi Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, (BN) yang memperoleh 10,985 undi, untuk menang dengan majoriti 1,084 undi.

0 Response to "PRK Sungai Limau:Aura Mukriz Mampu Turunkan Majoriti Pas"

Blog Archive