Latest News

Rupanya Dalam Umnopun Ada Kasta

Tidak mungkin orang berkata, kalau memang tidak wujud kasta dalam umno. Menyedihkan sekali, bahawa hanya yang berkasta sahaja boleh hidup dalam Umno, manakala di luar itu, adalah mereka yang tergolong penglipur lara. Setidak-tidaknya itu yang dirasakan oleh mereka yang bukan tergolong kategori kasta. Janganlah katakana diluar kasta itu adalah “pariah” kerana mungkin menguris perasaan.

Seorang pemimpin Umno yang mahu bertanding Ahli Majlis Tertinggi, beberapa hari yang lalu di Kota Kinabalu Sabah, ada menyentuh berkaitan antara Kasta dan Pariah.

Pada awalnya AYT agak terkejut juga mengenai kenyataan itu, kerana tidak sangka pemimpin atas juga merasakannya.

Sebenarnya, para ahli parti yang hanya sebagai ahli dan termasuk dalam 3.5 juta ahli parti, yang biasanya hanya tergunapakai semasa pilihanraya umum, atau pemilihan diperingkat cawangan, akan senantiasa terpinggir dalam dunia nyata, kerana mereka itu bukan tergolong dalam kasta.

Bagi mereka di luar lingkaran kasta, meskipun parti wujud 67 tahun lalu, dan senantiasa menjadi tunggak kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan; tidaklah punya kesempatan meniti ke mercu kejayaan dalam parti, apatah lagi dalam kerajaan atau bidang lain.

Mereka ini secara turun menurun mewarisi terpaksa turun naik di Pejabat Menteri atau Pegawai Kerajaan membawa sampul-sampul berisi surat-surat permohonan, memohon simpati demi kelangsungan hidup dan seterusnya mmeneruskan perjuangan.

Pejuang seperti ini, biasa diketepikan oleh mereka yang pandai berpolitik seperti Datuk Seri Zahrain Hashim atau Ezam Mohd Noor; kerana walaupun mempunyai rekod sebagai penderhaka kepada parti, namun mereka tebus khianat mereka itu, dengan menelan bulat-bulat semua kahak, ludah yang terhambur daripada mulut mereka. Cara mereka ini lebih mendapat perhatian khusus daripada golongan kasta dalam parti; sebab itu mereka dengan mudah dapat hadiah atau habuan.

Dalam Umno, mereka yang setia dalam perjuangan, malah terpaksa bergolok bergadai demi bangsa, agama dan negara akan meneruskan keadaan itu sampai ke akhir hayat, kerana keikhlasan mereka dalam perjuangan, sehinggakan tidak diketahui kehadirannya oleh golongan kasta. Sebenarnya mereka inilah adalah pejuang yang tidak didendang; akan senantisa berdiri teguh di belakang parti, senang dan susah.

Berlainan dengan mereka yang dalam golongan kasta, mereka ini sudah dalam sistem dan bakal-bakal dibantu, dinaikan, dinobatkan dan berbagai habuan telah menanti untuk mereka. Mereka yang mampu memiliki sepertimana dimilki oleh golongan kasta akan tetapi di luar kasta adalah mereka-mereka yang tergolong seperti Zahrain dan Ezam. Tanpa sifat-sifat seperti Zahrain dan Ezam, golongan di luar kasta, perlu rela dan redha, bahawa perjuangan mereka hanya semata-mata untuk nusa, bangsa dan agama sehingga akhir hayat.

Seperkara lagi, antara penyokong dan bukan penyokong, terlihat dalam lingkaran Pemandu yang diwujudkan pada 16 September 2009. Tujuan pengwujudan Pemandu ini adalah untuk merangka perekonomian negara selain mengariskan KPI untuk para menteri dan kementerian.

Dalam lingkaran Pemandu yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Khon yang ditolak oleh rakyat Pulau Pinang, malah partinya ditolak oleh rakyat, telah mengumpulkan “pakar-pakar” yang diragui kepakarannya, apatah lagi keikhlasan mereka terhadap kerajaan. Pakar-pakar ini dibayar gaji puluhan ribu secara kontrak, kononnya melakar hala tuju perekonomian negara, namun selepas 4 tahun, pada 2 September, mereka menasihatkan Perdana Menteri untuk menaikkan harga minyak dalam negara.

Kalaulah kepakaran mereka, hanya untuk mengurangkan subsidi, AYT rasa, mereka yang tidak pernah mengaji ekonomipun mampu memberi nasihat.

Perlantikan/pemilihan mereka-mereka yang dianggap pakar dalam agensi kerajaan seperti PEMANDU; adalah contoh bagaimana anak-anak pejuang setia tidak akan mampu menduduki jawatan-jawatan itu, atas sebab mereka ini tidak tahu berlakon, tidak tahu berpura-pura; pendek kata mereka tidak tahu apa itu hipokrit.

Bukan itu sahaja, perlantikan para pegawai menteri dan juga setiausaha-setiausaha politik; hanya mereka yang tergolong dalam kasta berpeluang untuk itu, meskipun daripada segi andil perjuangan, kalaulah dilihat daripada segi merit; tidakpun memilikinya.

Selagi, pemerhatian dan pertimbangan disasarkan kepada mereka yang termasuk dalam golongan kasta dalam parti, selagi itu, mereka yang diluar lingkaran itu pasti tidak akan dapat menonjol apatah lagi ditonjolkan. Atas sebab itu, kenyataan-kenyataan daripada pemimpin veteran, yang menyatakan bahawa perjuangan kaum melayu kini, khususnya generasi muda, sudah tersasar jauh daripada perjuangan asal Umno, atas sebab apa? kerana mereka yang sudah celik kepada keadaan telah melihat, bahawa dalam Umno, kasta sungguh berperananan, manakala merit ditinggal jauh-jauh.

Atas sebab itu, dalam isu perlantikan Datuk Seri Zahrain Hassim, sebagai Duta Besar Malaysia di Indonesia, tidak melihat kepada merit perjuangan, melainkan bagaimana seseorang itu mampu membodek dan berlakon.

Bagi penjuang yang setia, dan sudah tentunya memelihara maruah, sifat-sifat membodek dan berlakon, tiada dalam kamus mereka; atas sebab itulah, golongan seumpama ini, sukar mendapat tempat apatah lagi habuan.

0 Response to "Rupanya Dalam Umnopun Ada Kasta"

Blog Archive