Tuesday, September 24, 2013

Pemilihan Umno: Tindakan Musa Aman Tidak Bertanding Satu Pengorbanan

SATU langkah yang diambil oleh Pengerusi Perhubungan Umno Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah - Datuk Seri Musa Haji Aman tidak bertanding sebarang jawatan di Umno pusat pada pemilihan kali ini , perlu dilihat sebagai satu pengorbanan.

Dengan tidak bertandingnya beliau, ini bermakna, seorang lagi bakal pemimpin bakal muncul, bagi kekosongan jawatan Ahli Majlis Tertinggi. Selain itu, tujuan beliau tidak bertanding adalah untuk menyahut seruan Presiden Parti, agar melalui transformasi parti, peluang perlu diberikan kepada generasi muda memandu garis hadapan parti.

Sebenarnya, tiada kata boleh diungkapkan berhubungan dengan keputusan beliau tidak merebut sebarang jawatan. Tidak timbul, bahawa beliau tiada sokongan. Sebagai penyandang kerusi majlis tertinggi yang mendapat undi ke dua tertinggi pada pemilihan lepas, serta rekodnya yang mengemudi BN Sabah dalam tiga pilihanraya umum dengan keputusan yang cemerlang; selain kemampuan memacu perekonomian Sabah dan trek rekod lainnya, sudah mencukupi kelayakannya bertanding bagi merebut salah satu kedudukan samada Naib Presiden ataupun Majlis Tertinggi.

Namun, dibenak beliau, peluang memberikan laluan kepada generasi pelapis, merupakan satu proses dalam parti yang perlu dilakukan, agar parti kekal relevan dan diterima rakyat di masa depan.

Ahli Umno khasnya daripada Sabah dan keseluruhan ahli parti secara amnya, patut melihat pengorbanan pemimpin sepertimana yang dilakukan oleh Musa, adalah pembuka jalan kepada para pemimpin lain yang telah lama menduduki tampuk kuasa tertinggi dalam parti; agar memberi laluan kepada generasi pelapis untuk mencorakkan hala tuju parti.

Adalah diharapkan melalui pengorbanan Musa itu, calon-calon muda daripada  Sabah yang menawarkan diri bertanding antaranya Datuk Rahman Dahlan, Datuk Tawfik Abu Bakar Titingan diberi sokongan oleh para perwakilan; demi memenuhi agenda transformasi parti.

Keputusan Musa untuk tidak merebut sebarang jawatan pada barisan kepimpinan parti adalah satu isyarat kepada perwakilan, bahawa pada pemilihan parti kali ini, generasi pelapis perlu diberi peluang.

No comments:

Blog Archive