Monday, September 23, 2013

Pemilihan Umno: Siapa Pemimpin Perlu Dimenangkan?

PROSES penamaan calon pemilihan pemimpin UMNO Oktober ini telahpun usai. Hanya beberapa jam lagi, tempoh menarik diri akan tamat. Namun, jika tiada calon yang menarik diri, maka jumlah calon-calon akan tetap: Naib Presiden 6, MT 64, Ketua Wanita 3, Naib Ketua 3, Exco 44; Ketua Pemuda 5, Naib Ketua 4, Exco 77; Ketua Puteri 2, Naib Ketua 3, Exco 30.

Bagi AYT daripada sekian ramai mereka yang bertanding, AYT tertarik kepada beberapa calon. Antaranya ialah Datuk Mukhriz Mahathir bagi jawatan Naib Presiden, Khairy Jamaluddin bagi jawatan Ketua Pemuda, Datuk Rahman Dahalan, Datuk Tawfik Abu Bakar Titingan, Datuk Saifudddin Abdullah, Datuk Azalina Othman Said, Datuk Nur Jazlan Mohamamed bagi Jawatan Ahli Majlis Tertinggi dan Datuk Suraya Yaacob bagi jawatan Naib Ketua Wanita.

Mengapa begitu? Ini kerana AYT melihat merekalah barisan pemimpin pelapis yang mempunyai keupayaan dan wawasan untuk membawa negara ke depan. Kenyataan ini tidak bermakna memperkecilkan keupayaan calon lain, tetapi penulis melihat, penyertaan mereka menjadikan pemilihan parti kali ini sungguh menarik dan menjadi perhatian umum secara amnya, dan ahli parti secara khasnya..

Cuba bayangkan betapa senyap dan sepinya serta hambarnya pemilihan Naib Presiden UMNO jika Datuk Mukhriz tidak bertanding? Apakah yang baru yang boleh ditawarkan oleh UMNO tanpa adanya calon muka baru yang bertanding? Apakah perubahan yang boleh diharapkan dari UMNO jika sekadar muka lama sahaja yang bertanding? Apa transformasi yang boleh berlaku? Oleh sebab itulah AYT melihat bahawa
penyertaan Mukhriz, walaupun di saat-saat akhir, menjadikan pemilihan parti kali ini menjadi tumpuan.

Penyertaan Mukhriz, ada yang beranggapan sebagai jelmaan bapanya Tun Mahathir. Malah Menteri Besar Kedah pernah berkata, memang beliau bersyukur kerana ber "bin"kan Tun Dr Mahathir; namun pada hakekatnya, kata beliau, beliau mempunyai caranya sendiri.

Anggapan bahawa Menteri Besar Kedah itu jelmaan bapanya, adalah satu tanggapan yang kurang adil kepada beliau. Jika pun beliau masih dibayangi oleh ayahnya, namun pada hakekatnya, beliau lebih memahami aspirasi rakyat terkini. Umno perlu melihat penyertaan beliau bagi merebut kedudukan nombor tiga parti, perlulah dianggap sebagai proses peremajaan parti, dan sekaligus memberi pendedahan kepada pemimpin pelapis. Parti perlu melihat, bahawa kehadiran beliau dalam kanca pertandingan Naib Presiden, untuk memastikan bahawa kepimpinan negara bakal dipikul oleh generasi penerus pada masa akan datang.

Pada pemilihan parti kali ini, AYT memberi perhatian kepada dua calon daripada Sabah- Datuk Rahman Dahalan dan Datuk Tawfik Abu Bakar Titingan. Dua pemimpin ini, memenuhi kretiria pemimpin masa depan parti dan negara. Mereka berdua mempunyai pendekatan, yang sangat sesuai untuk masa kini, dan masa depan; jika dilihat daripada segi perubahan taburan penduduk, tahap kemajuan pemikiran rakyat dan perkembagangan kemajuan dalam negara;. Rahman dan Tawfik  memenuhi syarat-syarat itu, tambahan lagi mereka adalah bakal mengisi kepimpin Umno Sabah di masa akan datang.

Seorang lagi calon yang bertanding ialah Datuk Saifuddin Abdullah yang mempertahankan jawatannya di Majlis Tertinggi. Beliau yang memperkenalkan politik baru, walaupun tewas pada PRU-13 lalu, dan kehilangan jawatan pada kabinet, namun beliau adalah pemimpin yang sangat terbuka, berani menerima perbezaan pendapat, dan menganggap perbezaan pendapat itu sebagai warna-warni politik; adalah seorang pemimpin yang perlu dimenangkan; kerana pendekatan beliau itu diperlukan oleh parti agar kekal relevan dalam arus politik tanah air.

Begitu juga dengan YB Khairy Jamaludin, Menteri Belia dan Sukan. Seorang yang dinamik, bertenaga dan mempunyai pendapat yang segar. Walaupun beliau sering dicop sebagai pemimpin yang bersifat liberal, namun itulah menjadi kelebihannya dalam suasana negara yang berbilang kaum dan agama.

Bagi Wanita pula, tindakan Datuk Suraya Yaacob menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Wanita., akan memberi wajah baru yang segar kepada sayap parti itu. Pemimpin seperti beliau diharapkan menjadi peneraju wanita di masa depan.

Bagi AYT, para pemimpin yang disebutkan dan jika mereka berjaya membarisi kepimpinan parti, boleh bersiang dengan pemimpin Pakatan Rakyat seperti Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Tony Pua, Lim Guan Eng malah dengan Salahudin Ayub daripada PAS. 

Jikalah AYT mempunyai kelayakan untuk mengundi, sudah pasti memangkah calon-calon yang disebutkan.

1 comment:

OneCentLeader said...

KJ dan Saifuddin lebih sesuai jadi pemimpin PR.

UMNO memerlukan pemimpin yg berjiwa Melayu. Pemimpin yg tidak malu dan tidak apolegetik dalam memperjuangkan agenda Melayu.

Blog Archive