Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said berkata, tidak ada kuota bagi mana-mana pemimpin atau negeri untuk menduduki jawatan naib presiden dan majlis tertinggi pada pemilihan parti kali ini.
Menurutnya, semua pemimpin layak bertanding dan anggota parti bebas membuat pilihan berdasarkan pertimbangan mereka demi kelangsungan perjuangan.
Beliau berkata, pertandingan yang berlaku pada pemilihan kali ini adalah seiring dengan semangat pindaan perlembagaan parti yang memberi kebebasan dan peluang anggota parti membuat pilihan secara demokratik dan terbuka.
"Oleh itu, tidak timbul soal kuota atau hak bagi mana-mana pemimpin atau negeri kerana yang perlu difikirkan dan diutamakan adalah soal kepentingan nasional," katanya ketika ditemui selepas meraikan pemimpin Umno dari Semenanjung pada jamuan malam di sini malam Sabtu.
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman baru-baru ini, yang menyifatkan pertandingan dalam pemilihan kali ini harus dianggap atas semangat kekeluargaan.
Sambil menyatakan pemimpin yang bertanding jawatan naib presiden dan majlis tertinggi terdiri daripada kawan-kawan dan sahabat seperjuangan, Salleh optimis bahawa anggota Umno cukup matang dan bijak membuat pilihan tanpa dipengaruhi sentimen kenegerian mahupun keperibadian. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment