Latest News

Kertas Undi Pemilihan Umno Dilengkapi Ciri-Ciri Keselamatan Khusus

Pemilihan Umno 2013 bulan depan menyaksikan lebih empat juta kertas undi dikeluarkan bagi pemilihan jawatan utama Majlis Tertinggi parti melibatkan Timbalan Pengerusi Tetap, tiga Naib Presiden dan 25 anggota MT.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusof berkata kertas undi berkenaan akan diasingkan mengikut jumlah perwakilan bahagian dan dihantar dengan bantuan kawalan Polis Diraja Malaysia ke tempat pemilihan.

"Seterusnya kertas undi itu akan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah di bahagian masing-masing dan kemudiannya diedarkan untuk pemilihan, jangan risau tentang ketirisan kertas undi," katanya berucap pada sesi post-mortem Simulasi Pemilihan Umno 2013 di Institut Latihan Memperkasa Umno (ILMU) di Janda Baik di Bentong, hari ini.

Beliau berkata kertas undi berlainan warna bagi setiap jawatan itu mempunyai 18 ciri keselamatan dan dilengkapi ciri keselamatan sinaran lampau ungu yang boleh mengesan kertas undi palsu.

Keseluruhannya, kira-kira 14.6 juta kertas undi akan dikeluarkan berdasarkan jumlah perwakilan dan jawatan yang dipertandingkan pada peringkat pusat dan ketiga-tiga sayap serta bahagian di seluruh Semenanjung dan Sabah.

Selain itu, Umno juga menyediakan 2,000 unit mesin pengira kertas undi untuk diagihkan ke setiap bahagian dan 100 peti undi di setiap bahagian, selain 320 bakul untuk proses mengira undi.

Ab Rauf berkata 206 petugas ibu pejabat Umno akan ditugaskan di setiap bahagian bagi membantu proses pengundian dan pengiraan undi.

Katanya Umno akan mencetak buku yang memaparkan gambar calon bertanding peringkat MT selepas 7 Okt, iaitu tarikh senarai muktamad calon dikeluarkan, untuk dibekalkan kepada semua perwakilan.

Bagi memastikan mesyuarat perwakilan dan pemilihan diseragamkan, ibu pejabat Umno akan menyediakan transkrip ucapan Pengerusi Tetap dan teks bacaan doa.

Beliau berkata 35,000 sukarelawan akan terlibat bagi mengendalikan pemilihan Umno yang menggunakan sistem pemilihan baharu, yang pertama kali diadakan, berikutan pindaan perlembagaan pada 2009.

Setakat ini, 33,682 calon akan bertanding dan daripada jumlah itu, 260 calon bertanding di peringkat pusat termasuk MT iaitu 76 calon, Wanita (51), Pemuda (94) dan Puteri (38) manakala selebihnya di peringkat bahagian.

Pemilihan Umno kali ini akan turut menyaksikan 146,000 perwakilan, diberi peluang mengundi melalui mekanisme pengiraan yang mengadaptasi sistem 'Electoral College'.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian serta pemilihan Exco sayap pusat diadakan serentak pada 12 Okt.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan di peringkat Bahagian dan MT diadakan serentak pada 19 Okt.

0 Response to "Kertas Undi Pemilihan Umno Dilengkapi Ciri-Ciri Keselamatan Khusus"

Blog Archive