Thursday, September 05, 2013

Harga Minyak Naik: Kerajaan Jimat RM3.3bilion!!!

ANGKA RM3.3bilion untuk seseorang atau negeri, memang suatu angka yang besar, namun bagi sebuah negara angka itu sebenarnya tidak signifikan, kerana angka itu hanya 0.51 peratus daripada hutang negara yang berjumlah RM653 bilion.

Selama mana? atau signifikan mana penjimatan yang dilemparkan kepada rakyat itu boleh membantu perekonomian negara, terutama untuk mengurangkan hutang negara? 

Perdana Menteri pada Isnin semasa mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan Diesel, walaupun hanya 20 sen, Najib memberi alasan, "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara." 

Dalam pengertian AYT, penjimatan sebesar RM3.3 bilion kerana kenaikan harga minyak sebesar 20 sen mempunyai impak yang sungguh besar kepada perekonomian negara. Pengertian itu, seiring dengan kenyataan Perdana Menteri, bahawa penaikan harga minyak perlu dilakukan, kerana kalau tidak, maka boleh menganggu kedudukan kewangan negara secara keseluruhan.

Memang angka RM3.3 bilion merupakan 13.36 peratus daripada jumlah tanggungan subsidi minyak negara yang berjumlah RM24.7 bilion; akan tetapi angka itu jika dibandingkan dengan hutang negara amatlah kecil, tidak sampaipun 1 peratus.

Jikalah alasan yang diberikan dari awal-awal lagi, bahawa pengurangan subsidi minyak adalah dalam rangka mengurangkan defisit kewangan negara, walaupun kelihatan kecil, namun ianya juga mempunyai impak dalam jangka panjang.

Namun yang mendukacitakan, bahawa penekanan yang diberikan adalah, kenaikan harga minyak, kerana kerajaan akan menaikan nilai BR1M. 

AYT difahamkan bahawa tujuan BR1M adalah untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat terutama keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Namun, disebabkan penambahan nilai BR1M diambil daripada penjimatan subsidi minyak dengan cara menaikan harganya, maka tujuan pemberian BR1M itu, tidak akan memenuhi matalamatnya. Atas sebab, dengan kenaikan harga minyak, sudah tentunya harga barangan keperluan rakyat akan turut juga naik.

Selepas Perdana Menteri membuat pengumuman, Timbalan Menteri Kewangan mengeluarkan alasan bahawa walaupun harga minyak dinaikan, namun kedudukan harga minyak negara masih dalam kedudukan ke-8 di dunia atau ke-2 di ASEAN.

Malangnya, kenyataan itu, mengelirukan, kerana seolah-olah menyembunyikan fakta sebenar. Sepatutnya, alasan seperti itu, tidak perlu, kerana rakyat mengetahui kedudukan harga minyak di negara-negara jiran malah dunia. Kenapa perlu melihat harga minyak di negara Singapura atau Filipina, sedangkan negara itu tiada sumber minyak? 

Sepatutnya kerajaan memberi alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.

Di masa akan datang, apabila menteri-menteri atau pemimpin kerajaan memberi kenyataan yang boleh mengundang emosi rakyat seperti kenaikan harga minyak, perlu berhati-hati agar supaya kenyataan-kenyataan itu tidak  bergema negatif bagi pengertian rakyat.

1 comment:

Anaksi A. said...

bodoh punya kerajaan.
naik sikit cuma 20sen. buat rakyat marah.
penggal akan datang, naik lagi 20sen.rakyat marah lagi.
kan elok hapuskan shj terus subsidi minyak. biarlah rakyat marah. tapi marah sekali sj. lepas tu takdakla nak marah setiap kali lepas pru.

Blog Archive