Wednesday, September 04, 2013

Harga Minyak Naik- Ini Kah Hadiah Ku Dapat

Harga Minyak Naik- ini kah hadiah ku dapat? kenyataan seperti itu, boleh mudah untuk dijawab, boleh juga dengan mudah jawaban itu tidak diterima.

Jawapan seperti harga minyak dalam negara adalah yang kedua terendah di ASEAN atau salah satu terendah di dunia, bagaikan mencurahkan air di daun keladi.

Dalam isu kenaikan minyak ini, mengakibatkan kita serba salah. Mempertahankan tindakan kerajaan juga salah, mengutuk juga salah, semuanya serba salah.

Sebenarnya, ramai yang terperanjat, mengapa tiba-tiba harga minyak di naikkan?, sedangkan harga minyak di pasaran dunia cenderung setabil sejak 2 tahun lalu, malah pada akhir-akhir ini, harga minyak di pasaran dunia mempunyai kecenderungan menurun.

Kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri pada Isnin, kini menjadi bualan rakyat, di setiap kesempatan dan peluang.

Pengumuman kenaikan itu begitu pantas  hanya kira-kira lebih sedikit daripada 100 hari selepas kemenangan tipis yang diraih BN dalam pilihan raya umum lalu.

Dengan kemeriahan sambutan Hari Raya yang masih terasa dengan Perdana Menteri dan semua menteri kabinet dilihat begitu bergembira dengan pesta rumah terbuka berserta jamuan yang hebat di sana-sini sudah tentunya, jamuan seperti itu bukannya datang sepenuhnya daripada saku sendiri,tiba-tiba rakyat  dibebankan pula dengan kenaikan harga minyak yang tentunya juga akan diiringi dengan pelbagai kenaikan lainnya dalam perkhidmatan dan barangan pengguna.

Oleh kerana tahun ini tahun pemilihan Umno, hebat dan meriahnya majlis rumah terbuka menteri lebih jelas dapat dirasakan, terutama mereka yang mahu bertanding jawatan lebih tinggi atau mempertahankan jawatan sedia ada. 

Sudahlah ada rumah terbuka Perdana Menteri bersama menteri kabinet, ada pula rumah terbuka kementerian, kemudian semua agensi pula turut mengadakan rumah terbuka. Di kawasan Parlimen juga, menteri dan timbalan menteri mengadakan rumah terbuka.

Pendek kata, bulan Syawal ini jadual menteri dan timbalan menteri hanya asyik dengan rumah terbuka. Oleh kerana tahun pemilihan juga dan bimbang undi berkurangan, menteri turut mengambil kesempatan hadir ke rumah terbuka kementerian lainnya.

Tentu terlihat tidak sopan, setelah pemimpin berpesta  manakala rakyat hanya dapat menatapnya melalui tv dan akhbar, tiba-tiba rakyat yang menentukan kemenangan kepada Bn membentuk kerajaan pusat, akhirnya mendapat hadiah kenaikan harga minyak.

Pembangkang sudah meniup berbagai tomahan dan melihat bahawa tindakan kerjaan menaikan harga minyak adalah satu tindakan diskriminasi dan penindasan yang tiada tolok bandingnya. Jika diambil kira dengan pelbagai kemewahan dan perbelanjaan lainnya yang dilakukan pemimpin, termasuk kos lawatan Najib ke luar negara hampir RM50 juta. Berkaitan dengan itu, kata mereka ,kerajaan dilihat seolah-olah tidak punya perasaan langsung apabila menaikkan harga minyak.

Pada masa sama, kenaikan harga minyak itu juga dilakukan di tengah-tengah kebanggaan yang diumumkan bahawa Petronas pada 2012 mencatat keuntungan sebanyak RM59 bilion manakala keuntungan pada suku kedua 2013 ini pula mencecah angka RM21.9 bilion.

Dengan keuntungan sebesar itu, Najib terlihat begitu kemaruk dengan penjimatan RM3.3 bilion melalui kenaikan harga harga minyak dan memotong subsidi rakyat yang mana sebahagian besarnya penerima nikmat subsidi ini adalah orang kampung dan luar bandar yang selama ini penyokong tegar Umno serta penyumbang utama kepada kemenangan BN dalam pilihan raya lalu.

Apakah RM3.3 bilion itu tidak boleh ditampung melalui sumber lain dan lebih besar nilainya daripada menghimpit kehidupan rakyat ke kancah yang lebih sukar?

Sebaik menang piliharaya, Najib seperti sudah lupa siapa yang menyokong dan menjadikannya kekal sebagai Perdana Menteri. Lalu, dengan pelbagai keluhan dan sungutan mengenai kenaikan harga minyak ini, di manakah slogan "Kami mendengar" dan kerajaan sentiasa bersama denyut nadi rakyat yang sering dilaungkan selama ini?

Sebab itu, tidak hairan kenaikan harga minyak kali ini turut mendapat reaksi yang tidak menyenangkan daripada pemimpin Umno sendiri. Sementara ramai yang berdiam diri kerana tidak bersetuju tetapi tidak mahu meluahkan perasaan secara terang-terangan kerana bimbang periuk nasi terjejas.

No comments:

Blog Archive