Sunday, August 11, 2013

Pemilihan AMT Umno Ditangguh ke 19 Oktober

Umno menganjak tarikh akhir mesyuarat cawangannya dan menetapkan tarikh baharu untuk persidangan peringkat bahagian, tiga sayap, hari penamaan calon dan pemilihan parti.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara itu diputuskan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menerima permintaan daripada cawangan dan bahagian.

Mereka mencadangkan demikian kerana mesyuarat cawangan berlangsung semasa Ramadan dan Syawal, manakala pada bulan Oktober ini yang diperuntuk bagi persidangan bahagian dan pemilihan parti, menyaksikan kunjungan Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke negara ini, katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Adnan berkata susulan itu, pengurusan Umno bersetuju tarikh akhir mesyuarat cawangan dilanjut kepada 15 Sept daripada 31 Ogos sebelum ini, manakala persidangan bahagian dan pemilihan anggota Majlis Tertinggi (MT) dianjak daripada 5 kepada 19 Okt.

Tarikh pendaftaran calon MT pula diubah daripada 7 kepada 28 Sept, manakala penamaan calon untuk tiga sayap akan diadakan pada 21 Sept.

Persidangan tiga sayap yang dijadualkan pada 28 Sept dianjak kepada 12 Okt, kata Tengku Adnan.

"Pihak pengurusan Umno sudah memaklumkan kepada anggota MT berkenaan perkara ini," katanya.

Sebanyak 146,500 anggota parti di peringkat akar umbi di 191 bahagian akan terlibat dalam pemilihan MT meliputi presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 anggota MT selain memilih anggota jawatankuasa bahagian.- Bernama

No comments:

Blog Archive