Tuesday, August 13, 2013

Naib Presiden Umno: Peluang Musa cerah

JIKA akar Umbi parti Umno melihat dan menilai kedinamikan kepimpinan, maka perwakilan Umno perlu memberi peluang kepada Datuk Musa Aman menduduki salah satu kerusi Naib Presiden Umno pada pemilihan yang berlangsung pada 19 Oktober ini.

Kenyataan sokongan daripada berbagai pihak yang bermula daripada Timbalan Pengerusi Umno Sabah merangkap Ketua Bahagian Umno Kota Belud- Datuk Dr Salleh Tun Said menjalang Hariraya lalu dan kemudian kenyataan sokongan itu dikongsi oleh berberapa Ketua Bahagian, termasuk Datuk Yahya Hussien dan Datuk Tawfik Abu Bakar Titingan, mencerminkan gema sokongan kepada Ketua Menteri Sabah itu bertanding jawatan Naib Presiden parti amat diperlukan.

Trek rekod  Musa sejak menjadi Ketua Menteri Sabah pada tahun 2003 sungguh amat signifikan terhadap pembangunan Sabah. Dalam tempoh sepuluh tahun, kadar kemiskinan Sabah turun dua digit, manakala bajet tahunan negeri saban tahun terus meningkat, malah mencipta sejarah tersendiri, apabila bajet negeri julung kalinya melepasi angka empat bilion ringgit.

Pencapaian kewangan negeri di mana pada tahun 2003 hanya RM184 juta, saban tahun terus meningkat, malah pada tahun 2012, simpanan Sabah melepasi angka tiga bilion ringgit, melebihi negeri Selangor di mana simpananya hanya RM1.6 bilion.

Membangun Sabah, bukannya mudah kerana keluasan negeri yang sungguh besar selain taburan penduduk yang tidak merata.

Sabah pada suatu masa mempunyai sumber balak yang luas, kini balak bukan lagi sebagai sumber kewangan negeri, namun atas kemampuan pengurusan kewangan yang cekap, maka Sabah mampu secara terus menerus dapat mempersembahkan bajet yang besar untuk pembangunan negeri.

Keupayaan Musa bukan sahaja daripada segi pembangunan negeri, akan tetapi sumbangan beliau dalam kerajaan Barisan Nasional; di mana melalui dua pilihanraya umum yang sangat kritikal bagi kerajaan Pusat, Sabah di bawah kepimpinannya mampu menyumbang jumlah kerusi yang diperlukan.

Pada PRU-13 lalu, semua kerusi yang ditandingi Umno di peringkat Parlimen semuanya dimenangi Bn, sehingga membolehkan Bn Sabah menyumbang 22 kerusi Parlimen kepada Bn. Jumlah kerusi itu merupakan kerusi kedua tertinggi selepas Bn Sarawak.

Keupayaan Bn Sabah menyumbang kerusi parlimen kepada Bn, menyebabkan Bn Sabah digelar sebagai Simpanan Tetap Bn.

Melihat kepada sumbangan Umno Sabah kepada Parti Bn, adalah tepat agar Pengerusinya diberi kedudukan sebagai Naib Presiden parti, agar supaya beliau dapat menyumbang kepada pemantapan parti secara keseluruhan.

Pada pemilihan kali ini yang melibatkan lebih 150,000 perwakilan, maka sesiapa yang menang dalam pertandingan, boleh lah dianggap sebagai mewakili aspirasi ahli di semua peringkat. Justeru itu, AYT melihat, pengelibatan Musa dalam pertandingan sangat dialu-alukan.

No comments:

Blog Archive