Monday, August 12, 2013

Dato Rahman Dahlan Umum Bertanding AMT Umno.

SESUAI dengan janji beliau semalam kepada AYT, bahawa beliau akan mengumumkan dalam masa 24 jam apakah beliau akan bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno, sepertimana disarankan sebelum ini melalui blog ini; berikut adalah pengeumuman Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.


PENCALONAN UNTUK MASA DEPAN

Selepas berfikir panjang dan membuat pertimbangan menyeluruh, saya dengan rasa rendah diri mengumumkan hasrat untuk bertanding bagi kerusi Majlis Tertinggi UMNO, pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

Sesungguhnya, saya percaya masanya sudah tiba bagi saya mengambil langkah penting itu dan menyertai percaturan ini.

Setiap anggota parti boleh melihat sendiri perkembangan UMNO sejak ia ditubuhkan hingga ke kedudukan sekarang, sebagai parti paling kukuh dalam sejarah tanah air, selain diiktiraf sebagai satu daripada parti demokratik paling berjaya di dunia.


Diakui, kita mempunyai perspektif tersendiri terhadap parti ini, bergantung kepada sumbangan kita selama ini dan apa yang dicapai sepanjang tempoh 67 tahun lalu.

Apa sekalipun tanggapannya, kawan dan lawan tidak boleh menafikan parti keramat ini memberi kestabilan politik dan pencapaian ekonomi memberangsangkan buat Malaysia.

Pun demikian, walau sehebat dan setinggi mana sekalipun pencapaian UMNO setakat ini, saya percaya masa depannya perlu dicorakkan dengan idea serta pendekatan baru.

Dinamik politik Malaysia mempengaruhi banyak perubahan dan membawa bersama pelbagai cabaran unik yang perlu ditangani dengan langkah berani. Pola pengundian dalam dua pilihan raya umum lalu menyedarkan kita mengenai hakikat cabaran baru serta unik yang sedang dihadapi.

Harus diingat, UMNO pernah berdepan banyak cabaran hebat sebelum ini dan dalam setiap keadaan, parti keramat ini tampil lebih kukuh dan matang. Saya penuh yakin UMNO juga akan melepasi cabaran yang dihadapi kini seperti mana sebelum ini.

Seperti mana rakan lain yang turut menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan parti akan datang, kehadiran saya bukan sekadar untuk mengisi jawatan. Saya nekad dalam memastikan UMNO kekal sebagai pilihan utama pengundi, terutama generasi muda yang mewakili sebahagian besar kumpulan pengundi. Justeru, pengalaman saya sebagai pengasas bersama Kelab UMNO ketika menjadi pemimpin pelajar di seberang laut, bekas Ketua Pemuda MNO bahagian dan bekas Setiausaha Pemuda UMNO, memberi saya kelebihan untuk membantu parti menawan semula sokongan generasi muda yang amat besar kepentingannya.

Sebagai Setiausaha Barisan Nasional Sabah dan Ahli Parlimen Kota Belud, kerusi Majlis Tertinggi akan membolehkan saya membantu dalam membentuk aspirasi serta visi UMNO di kalangan masyarakat terbanyak.

Akhir kata, mengimbau tahun demi tahun, kedudukan UMNO Sabah tampil semakin kukuh, besar dan inklusif. Peluang berkhidmat untuk parti dan negara adalah penghormatan besar bagi seorang ahli politik dari Sabah seperti saya.

Terima kasih.

Dato' Abdul Rahman Dahlan

No comments:

Blog Archive