Monday, July 22, 2013

Shafee Ketuai Pendakwaan Rayuan Sodomi II Anwar


Muhammad Shafee Abdullah

PUTRAJAYA: Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah diberi kuasa oleh Peguam Negara untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam prosiding rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Muhammad Shafee berkata pada Isnin beliau menganggap pelantikannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk prosiding rayuan itu sebagai khidmat awam dan akan menjalankan tugasnya dengan baik.

Beliau berkata ia adalah kali pertama seorang peguam dilantik oleh Peguam Negara untuk terlibat dalam pasukan pendakwaan bagi kes jenayah berprofil tinggi.

Beliau memberitahu dia dibayar gaji untuk memastikan bahawa pelantikannya secara kontrak adalah sah.

"Ia adalah satu jumlah yang kecil semata-mata untuk memastikan kontrak saya sah," katanya yang enggan mendedahkan jumlah tersebut kepada media.

Beliau berkata tiada sebarang konflik kepentingan terhadap saya untuk bertugas sebagai pendakwa raya.

Menurutnya, beliau telah dilantik oleh Peguam Negara dengan fiat (kebenaran) di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Artikel 145 (3) Perlembangaan Persekutuan untuk mengendalikan kes rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata telah diberi kebenaran oleh Peguam Negara di bawah Seksyen 379 CPC untuk bertugas mewakili kerajaan bagi rayuan jenayah.

"Saya menerima surat bertarikh 2 Julai yang ditandatangani oleh Peguam Negara pada 11 Julai. Beberapa dokumen lain mengenai kontrak saya akan dilengkapkan pada Jumaat," katanya.

Jelasnya, beliau juga boleh mengendalikan kes lain selagi tidak wujud sebarang konflik.

Anwar dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Januari tahun lalu daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadi beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

No comments:

Blog Archive