Sunday, July 28, 2013

Pemilihan Umno: Rahman Dahlan perlu bertanding AMT

LAZIMnya seorang Menteri Penuh mempunyai kedudukan dalam parti, sekurang-kurang Ahli Majlis Tertinggi.

Datuk Abdul Rahman Dahlan, telah dilantik ke jawatan Menteri Penuh Kabinet Persekutuan selepas PRU-13 lalu, apabila berjaya mempertahankan Kerusi P.169 Kota Belud untuk penggal kedua.

Rahman sebenarnya tidak asing bagi Umno pusat, kerana pernah menyandang Setiausaha pemuda, manakala di Peringkat Negeri, MP Kota Belud itu merupakan Setiausaha BN Sabah.

Walaupun Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak mempunyai kedudukan dalam mana-mana Bahagian, namun berasaskan kepada kedudukannya dalam parti, boleh anggap kanan. Justeru itu, pada pemilihan parti kali ini, beliau wajar bertanding bagi Jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT).

Pada pemilihan tahun 2008, wakil-wakil daripada Sabah, selain Datuk Musa Haji Aman terpilih sebagai salah satu AMT, juga beberapa MP lain antaranya Datuk Lajim Haji Ukin. 

Pada pemilihan kali ini, faktor Umno Sabah yang telah menyumbang banyak kerusi kepada parti, diperkirakan akan ramai pemimpin parti itu yang berasal daripada Sabah akan dipilih oleh 150,000 perwakilan bagi mencerminkan, bahawa negeri di bawah itu merupakan negeri yang boleh dianggap sebagai tulang belakang Umno selepas Johor.

Rahman, sebagai menteri persekutuan dan mengetuai salah satu Kementerian yang besar dan mencabar perlu mempunyai kedudukan dalam parti; agar supaya tindak tanduknya mencerminkan aspirasi akar umbi ahli dan penyokong parti.

Sudah tentunya ahli parti akan berbangga mempunyai menteri yang mempunyai keupayaan mengurus sebuah kementerian yang sungguh mancabar dan membawa aspirasi Perdana Menteri, agar penduduk bandar mempunyai tautan dengan pentadbiran kerajaan.

Pilihanraya yang baru sahaja melabuhkan tirainya, jelas dan nyata bahawa penduduk bandar kelihatan terputus hubungan dengan pentadbiraan negara, kerana hanya kawasan Parlimen Johor baharu dan Kangar sahaja, pengundinya menyebelahi parti yang memerintah negara ini.

Kemenangan Rahman dalam pemilihan parti, boleh menjadi jambatan kepada seluruh jajaran parti untuk mengetahui maklum balas aspirasi dan kehendak penduduk bandar, agar semua lapisan kepimpinan parti dapat bergerak sama memastikan agar aspirasi Perdana Menteri tercapai bahawa penduduk bandar juga menyokong kerajaan yang memerintah.

Adalah diharapkan Datuk Haji Abdul Rahman Datuk Dahlan akan mendaftar diri pada 7 September sebagai calon Ahli Majlis Tertinggi parti. Sama-samalah kita tunggu. Sekiranya beliau bersedia bertanding, berilah undi kepada beliau, agar supaya peranannya dapat dirasai oleh semua ahli parti.

No comments:

Blog Archive