Latest News

PRU-13: BN Kemuka calon-calon Terkuat dan Terbaik: Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN hari ini telah memuktamadkan calonnya yang "terkuat dan terbaik" bagi berdepan calon pembangkang pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Beliau yang juga pengerusi BN juga menegaskan sebanyak 33 peratus calon di peringkat parlimen terdiri daripada muka baru, manakala sebanyak 49 peratus terdiri calon baru di peringkat DUN.

Menurutnya lagi, 91 peratus calon BN di peringkat parlimen mempunyai kelayakan akademik peringkat diploma ke atas.

"Dari segi penyertaan, sebanyak 31 peratus di kalangan profesional termasuk profesor universiti, pegawai PTD, badan-badan agensi kerajaan, doktor, peguam, ulama, (pemimpin) popular di peringkat akar umbi dan sebagainya.

"Umumnya saya yakin, ini pasukan BN yang terkuat mampu kita tampilkan. Dan saya yakin inilah pasukan yang mampu memenuhi akujanji manifesto dan membantu kerajaan dengan dasar tranformasinya," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan senarai dan watikah calon kepada presiden komponen parti dan pengerusi BN di seluruh negara.

Menurutnya lagi pemilihan calon di peringkat parlimen dan DUN adalah berdasarkan kepada "sentimen dan jangkaan pengundi bahawa BN dan Umno sudah bersedia melakukan perubahan dan pembaharuan".

"Di samping itu, kita juga cuba mengambil kira perlunya kita membariskan wakil-wakil rakyat yang sedia ada, yang terdiri ada pengalaman berkhidmat dalam kerajaan.

"Ini kerana imbangan muka baru dan muka yang berpengalaman adalah amat penting. Kita bukan sahaja menampilkan pembaharuan, tetapi kita ada sebuah parti yang mana dengan mandat baru akan menubuhkan kerajaan akan datang, kita juga mampu mentadbir kerajaan dan berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, berdasarkan jadual, parti-parti komponen BN akan memaklumkan senarai calon masing-masing pada hari ini.

Umno umum calon esok

Manakala, pengerusi BN negeri-negeri akan mengumumkan senarai dan penyerahan watikah secara serentak pada keesokan harinya.

Bahkan katanya, pengumuman calon Umno akan dibuat esok.

"Ini merupakan barisan terbaik yang mampu disediakan. Ia (pemilihannya) adalah merupakan satu proses yang panjang yang dilakukan pada kali ini, meliputi banyak perundingan dengan parti komponen BN dan pengerusi BN negeri," katanya.

Menjawab soalan, Najib berkata senarai calon yang diserahkan adalah "senarai terakhir" dan berharap tidak timbul situasi yang membolehkan pertukaran berlaku.

"Saya berharap tidak ada perubahan. Kami tidak menjangkakan perubahan. Saya berharap tidak timbul situasi yang membolehkan perubahan berlaku... Kami berharap (senarai) ini adalah final," tegasnya. 

Kepada calon atau penyandang yang tidak terpilih, Najib turut mengucapkan perhargaan dan terima kasih dan ia tidak disebabkan mereka "gagal, bermasalah atau ada kepincangan".

Sebaliknya, katanya, tuntutan rakyat yang mahukan perubahan adalah antara sebab tindakan itu dibuat. 

"Terima kasih kepada semua wakil rakyat yang tidak bertanding. Ia bukan stu penafian atas khidmat mereka selama ini.

"Kita berharap mereka terus menyokong parti dan memberi sumbangan dalam pilihan raya umum dan selepas itu," katanya.

0 Response to "PRU-13: BN Kemuka calon-calon Terkuat dan Terbaik: Najib"

Blog Archive