Saturday, March 23, 2013

Krisis Lahad Datu: Saki baki pengganas kini makin tertekan: Ismail


Pawang Pengganas Sulu-salah seorang yang maut
Saki baki pengganas di Lahad Datu kini berada dalam keadaan tertekan selepas sebahagian rakan mereka ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata penahanan dan pendakwaan itu memberi kelebihan kepada pasukan keselamatan negara kerana musuh sudah terdesak untuk mencari cara bagi melepaskan diri. 

“Pasukan keselamatan kita lebih yakin dan bersemangat untuk terus berjuang bagi memastikan kumpulan pengganas dapat dihapuskan dalam masa terdekat seterusnya memastikan keselamatan dan keamanan dapat dikekalkan. 

Pasukan keselamatan kita kini lebih yakin dan bersemangat untuk terus berjuang bagi memastikan kumpulan pengganas dapat dihapuskan dalam masa terdekat” Ismail Omar, Ketua Polis Negara

“Kita mempunyai pelan jangka pendek iaitu mengukuhkan kehadiran dan kawalan pasukan keselamatan di semua kawasan sensitif, termasuk perkampungan atas air, pinggir pantai dan sekitar kawasan Felda Sahabat di Lahad Datu,” katanya.

Pelan jangka panjang ialah kewujudan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Persidangan Ketua Polis Negeri, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak, Komandan/Komander Maktab Polis, Pusat Latihan Polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kuala Lumpur, semalam. 

Ismail juga memaklumkan, keadaan keselamatan di Sabah kini semakin pulih dan terkawal, berikutan kehadiran besar pasukan keselamatan selain logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bergerak mengikut pelan strategik yang dirangka untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman pada masa depan selepas kita belajar daripada kesilapan dan kekurangan semasa Ops Daulat,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak RM2 juta berjaya dikumpul untuk Tabung Wira Lahad Datu dan Tabung Kebajikan PDRM melalui sumbangan pelbagai pihak termasuk swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Semalam, 10 individu menyampaikan sumbangan kepada Ketua Polis Negara sebagai menghargai jasa wira negara yang terkorban di Lahad Datu.

No comments:

Blog Archive