PARTI Gerakan menerima tamparan hebat pada PRU-12 lalu, apabila
kerajaan pimpinannya di Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang. Bukan itu
sahaja, parti itu mengalami tsunami politik yang dahsyat apabila sebahagian
besar calon-calonnya tumpas termasuk
Presiden Parti itu, Tan sri Dr Koh Tsu Koon.
Sayogia parti itu bertanding di Sabah pada PRU-PRU sebelum PRU-12,
di mana kecatatan pada parti itu belum berlaku, namun pucuk pimpinan memandang
bahawa belum masanya parti itu bertanding walaupun telah mengikut langkah MCA
dan UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah.
Hasrat parti itu bertanding
di Sabah pada PRU-13, sudah tidak kena pada tempat dan masanya, atas sebab
akibat tsunami yang melanda parti itu pada PRU lepas.
Seharusnya parti itu menumpukan kepada kawasan-kawasan tradisinya
di Semenanjung, terutama Pulau Pinang untuk menebus semula kerusi-kerusi tradisi
parti itu yang kini dikuasai oleh DAP.
Hasrat parti itu bertanding di Sabah, disebabkan negeri di bawah bayu itu
adalah kawasan selamat bagi semua komponen Bn, termasuklah parti Gerakan.
Janganlah disebabkan keinginan untuk menobatkan seseorang atau beberapa
pemimpin parti itu menjadi wakil rakyat, maka terpaksa bertanding di kawasan
selamat, meskipun parti itu belum pernah bertanding pada sebarang pilihanraya
di Sabah.
Jangan kerana mahu menyelamatkan pemimpin tertentu, kerana menyertai
parti itu selepas PRU-12, maka timbul
hasrat untuk bertanding.
Jika pucuk pimpinan Bn mengambil keputusan untuk mempertandingkan
Parti Gerakan di Sabah, maka rakyat menilai, bahawa Bn hanya mahu menyelamatkan
seseorang, hanya kerana perkiraan bahawa seseorang itu setia kepada Bn secara
umumnya.
Rakyat akan menilai, bahawa Bn hanya mahu menyelamatkan seseorang
untuk tujuan jawatan. Jika benarlah Bn membenarkan Parti Gerakan bertanding dan
memilih calon tertentu yang di mana sebelumnya menang bukan atas tikit parti
itu, maka ianya merupakan perjudian besar Bn secara umumnya.
Pengundi tidak semestinya mengundi calon itu, atas sebab pengundi
tahu, bahawa pencalonan seseorang itu bukan kerana kepentingan Bn secara
umumnya untuk membela rakyat, akan
tetapi membawa maksud mahu menyelamatkan kedudukan seseorang.
Di Sabah, di mana sebelum ini belum ada seorangpun wakil rakyat
daripada Parti Gerakan, namun kerana akibat lompat parti, maka Gerakan
mempunyai tiga ADUN di Dewan undangan Negeri Sabah. Kawasan-kawasan DUN itu adalah Tanjong Papat,
Elopura dan Karamunting.
Sabah tidak ketandusan parti komponen yang mewakili kaum cina,
kerana ada Parti LDP, di mana parti itu merupakan komponen tertua BN bersama
Umno. Selain itu ada PBS, walaupun parti itu berbilang kaum, namun juga parti
itu mewakili kaum cina. Perkara ini dibuktikan apabila Timbalan Ketua Menteri
yang mewakili kaum tionghua pada cabinet negeri Sabah adalah daripada PBS.
Selain PBS, MCA juga sememangnya mewakili kaum cina; dan satu
perkara bahawa parti terbesar kaum cina itu bertanding di Sabah, dan kini
diwakili oleh Datuk Edward Khoo.
Jika Bn mahu agar supaya kawasan-kawasan majoriti kaum cina seperti
Tanjong Papat, Elopura terus diwakili daripada kaum itu, maka Bn tidak
ketandusan memilih calon-calon samada daripada LDP, PBS mahupun MCA, kerana parti
komponen ini sudah biasa bertanding di Sabah.
Adalah janggal bagi Parti Gerakan di kala dalam keadaan sangat
lemah, maka berhasrat untuk bertanding; seharusnya pada keadaan parti itu masih
kuat, maka pada masa itulah turut bertanding, agar supaya calon-calonnya
dijamin menang. Ini tidak, di saat-saat lemah, maka mempunyai hasrat untuk
bertanding, ini menyebabkan calon-calon parti itu akan menjadi beban kepada
komponen Bn yang lain.
Jangan lupa dalam politik, persepsi amat penting; kerana persepsi yang
baik akan menjadi faktor kemenangan. Kini, Parti Gerakan, bukan sahaja dilihat
sebagai parti terlemah dalam komponen Bn, malah persepi sebahagian besar
pengundi, bahawa parti itu akan tersunggur mutlak pada PRU-13 akan datang.
Walaupun menurut pengakuan Pengerusi Parti Gerakan Sabah, Gordon
Leong, bahawa parti itu berhasrat mempertahankan kerusi-kerusi DUN yang kini
disandang oleh wakil rakyat yang
melompat ke dalam parti itu, namun keputusan mengenainya bergantung kepada
pucuk pimpinan Bn, kerana jika pucuk pimpinan Bn tersalah atur, maka berakibat
buruk kepada Bn secara keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment