Thursday, October 11, 2012

Dakwaan Rasuah: Musa Bersih: SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan hartawan balak, Michael Chia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Jabatan Peguam Negara turut memutuskan tiada elemen rasuah dibuktikan membabitkan Ketua Umno Sabah itu.

"Jabatan Peguam Negara telah meneliti dan mempertimbangkan keterangan yang dikemukakan oleh SPRM dan memutuskan bahawa elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan.

"Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada Badan Perhubungan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu) yang bertanyakan mengapa tiada tindakan lanjut diambil terhadap Musa dan Chia selepas SPRM selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah.

Selain itu Mohamed Nazri turut memberitahu bahawa kes tersebut turut disiasat Independent Commission Against Corruption Hong Kong (ICAC).

"Berdasarkan siasatan ICAC berkaitan kes ini dan keputusan siasatan SPRM yang tersebut di atas, ICAC juga tidak mengambil apa-apa tindakan lanjut.

"Mengenai kes yang turut difailkan di Mahkamah Switzerland, ia merupakan permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MACMA) oleh ICAC bagi tujuan menyiasat perkara yang sama, permohonan MACMA ini juga telah ditarik balik atas alasan yang sama," katanya.

No comments:

Blog Archive