Ratu terjun kelahiran Sarawak, Pandelela Rinong tidak menghampakan sandaran yang diletakkan di atas bahunya apabila merangkul pingat gangsa dalam acara akhir 10m platform wanita pada Sukan Olimpik 2012, lewat malam tadi.
Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu menceriakan kontinjen Malaysia, tiga hari sebelum temasya Sukan Olimpik melabuhkan tirainya, dengan menghadiahkan pingat kedua negara selepas sebutir perak oleh Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton, Ahad lalu.
Selepas wakil tunggal Heidi Gan memperoleh tempat ke-16 dalam acara renang maraton 10km laut terbuka di Tasik Serpentine di Hyde Park pada sebelah pagi, misi menambah pingat kedua tanpa mengira warna kelihatan mustahil.
Bagaimanapun, Pandelela, yang diberi tanggungjawab membawa bendera Jalur Gemilang pada perarakan kontinjen pada majlis perasmian Sukan Olimpik 2012, berjaya memecah kebuntuan memburu pingat kedua negara.
Dia mengumpul 359.20 mata untuk meraih gangsa di belakang pemenang pingat emas Chen Ruolin dari China dan pemenang pingat perak, Brittany Broben dari Australia.
Pandelela memulakan terjunan pertama dengan hambar ekoran kesilapan dengan memungut 58.50 mata daripada acara Forward 3 1/12 somersault.
Dia kemudian bangkit dengan mengumpul 78.30 daripada acara Back 2 1/2 somersault, 64.00 (Armstand BAck double somersault 1 1/2 twist, 81.60 (Inward 3 1/2 somersault) dan 76.80 (Back 1/2 Somersault 1 1/2 twist).
Pandelela berkata selepas melakukan kesilapan pada terjunan awal, beliau dinasihatkan jurulatihnya dari China, Yang Zhuliang supaya melupakan kesilapan tersebut dan memberi tumpuan kepada empat terjunan seterusnya.
"Kejayaan meraih pingat gangsa ini saya tujukan kepada seluruh skuad terjun negara. Saya sendiri tidak menyangka mampu meraih pingat di temasya ini," katanya.
Penerjun itu akan mendapat ganjaran wang tunai sebanyak RM150,000 di bawah Skim Hadiah Ganjaran Sukan (Shakam) Kementerian Belia dan Sukan dan mendapat pencen seumur hidup sebanyak RM2,000 sebulan.
Pencapaian Pandelela itu akhirnya memecah dominasi sukan badminton yang sebelum ini menyumbangkan dua pingat perak dan dua gangsa, sejak Malaysia pertama kali menyertai temasya sukan terbesar dunia, bermula di Melbourne pada 1956.
Kejayaan Pandelela ini juga, sehingga kini, menyamai pencapaian kontinjen negara daripada edisi 1996 Atlanta, Amerika Syarikat, yang membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa.
Esok, seorang lagi penerjun negara, Bryan Nickson Lomas, akan menggalas satu lagi tugas berat dalam menambah kutipan pingat apabila memulakan saingan dalam acara 10m platform lelaki.
- Bernama
No comments:
Post a Comment