Friday, August 24, 2012

Mengimbau Keputusan PRU-12-Perkiraan Keputusan PRU-13

MELIHAT kepada keputusan PRU-12, kalau berasaskan wilayah/negeri- di Semenanjung keputusannya berimbang antara Barisan Nasional dan Pembangkang, sebabnya masing-masing menguasai jumlah negeri yang sama-yaitu enam. 

Barisan Nasional mengekalkan- Perlis, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dengan jumlah kerusi Parlimen- 57; manakala Pembangkang mempertahankan Kelantan, merampas Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan jumlah kerusi Parlimen- 61. Akan tetapi berasaskan jumlah keseluruhan, BN menguasai jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung sebanyak-85, manakala Pembangkang-81.

Hanya Sabah dan Sarawak yang menjadi penyelamat kepada Barisan Nasional. Walaupun Sabah dan Sarawak hanya bertanding 57 kerusi atau 25.68 peratus daripada jumlah kerusi yang ditandingi BN, namun berjaya menyumbang 55 kerusi atau dengan pencapaian 96.49 peratus atau menyumbang 39.29 peratus kepada jumlah kerusi BN.

BN Semenanjung yang bertanding 165 kerusi atau 74.32 peratus daripada kerusi yang ditandingi BN, namun hanya berjaya menyumbang 85 kerusi parlimen dengan pencapaian 51.51 peratus akan tetapi menyumbang 60.71 peratus secara keseluruhan kepada jumlah kerusi parlimen BN yang berjumlah keseluruhannya 140.

Pada PRU-13, baik Barisan Nasional mahupun Pembangkang membuat percaturan untuk menawan Sabah dan Sarawak.
 
Bagi BN, sudah tentu mahu mempertahan pecapaian tahun 2008, namun pembangkang mencuba sekurang-kurangnya mendapat tambahan 11 kerusi di Sarawak dan 7 di Sabah, sehingga menjadikan jumlah kerusi parlimen pembangkang di dua negeri itu berjumlah 20.
 
Pembangkang menjangkakan bahawa mereka mampu menambah 11 kerusi parlimen di Semenanjung, dengan itu jumlah kerusi mereka menjadi 92 kerusi. Apabila jumlah itu ditambah 20, maka mereka boleh menubuhkan kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah (112 kerusi daripada 222).
 
Bagi pihak BN pula, dijangka akan menambah 12 kerusi Parlimen di Semenanjung sambil mempertahankan 85 yang sedia ada. Dengan pertambahan itu, jumlah kerusi BN di Semenanjung akan berjumlah 97, hanya memerlukan 15 kerusi daripada Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah. Hakekatnya, BN Sabah dan Sarawak dengan mudah menyumbang 49 kerusi- 27 daripada Sarawak, 22 daripada Sabah termasuk satu daripada Labuan. Jika demikian, maka jumlah keseluruhan kerusi BN-146; kurang dua kerusi bagi kuasa 2/3 di Dewan Rakyat.
 
BN ada kemungkinan memperoleh kuasa 2/3 jika dua kawasan Parlimen di Sabah yang masih dalam keadaan 50-50 ketika ini dapat menyumbang kemenangan kepada BN.

Walau apapun, analisis ini hanya berasaskan "on the paper" berasaskan mode semasa. Keputusan PRU-13 akan datang akan sepenuhnya terletak di tangan rakyat, apakah ingin mencuba "malaikat" yang belum dikenali atau "syaitan" yang sudah diketahui-pinjam tamsilan mantan PM-Tun Dr Mahathir Mohammad.

No comments:

Blog Archive