Latest News

Lambatnya PRU-13-macam-macam persepsi Pembangkang

Kepimpinan Pakatan Rakyat (PR)mendakwa wujud keadaan tidak menentu dalam Umno apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi cadangan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri memberi saranan agar Najib memanggil PRU tahun ini walaupun adanya banyak perayaan mulai bulan depan hingga awal 2013.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, jelas keadaan dalam Umno sedang berkecamuk apabila tiga pemimpin utama parti seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan pendapat agar PRU tidak harus diadakan pada musim haji dan Muhyiddin pula mempunyai pendapat tersendiri.

“Pemimpin tertinggi Umno telah memberi pendapat mereka yang tersendiri- manakala Najib terus diam seribu bahasa,” ulas beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Tambah beliau, ia jelas menunjukkan keadaan parti itu yang sedang berkecamuk dan mereka sendiri tidak yakin untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat kerana tidak yakin akan meraih undi majoriti.

“Pada pendapat saya, keadaan mereka sudah tidak menentu apabila pemimpin tertinggi sendiri sudah tidak sependapat lagi.

“Saya tidak peduli sebarang mesej tersirat oleh Muhyiddin mendesak PM mengadakan PRU secepat mungkin tetapi mereka jelas sudah tidak sependapat lagi,” katanya.

Beliau turut yakin yang PRU akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dan meletakkan sepenuh kepercayaan ke atas jentera pilihan raya PKR yang sudah bersiap sedia.

“Tetapi bagi PKR, kalau boleh, elakkanlah PRU diadakan pada musim perayaan. Enam bulan terakhir tahun ini kita berhadapan dengan perayaan utama, jadi elakkanlah,” kata beliau.

Pas turut melahirkan pandangan senada dengan PKR apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali melahirkan pendapat yang sama dan merasakan yang pemimpin utama Barisan Nasional (BN) tidak sepakat dalam memilih tarikh PRU.

“Apabila Muhyiddin sendiri yang memberi saranan demikian, jelas yang beliau dan PM tidak sependapat,” katanya.

Beliau juga berkata yang saranan Muhyiddin ini merupakan satu mesej kepada parti supaya mereka bersiap sedia untuk menghadapi PRU yang akan datang.

“Saya tidak fikir yang Muhyiddin mendesak Najib. Tetapi cadangan ini lebih kepada mesej memberi peringatan kepada parti agar bersiap sedia kerana merasakan jentera Umno tidak cukup kuat lagi melakukan persiapan menghadapi PRU,” ujarnya.

Tambah beliau, mesej Muhyiddin ini cukup kuat dan lebih kepada seruan kepada jentera parti mereka sahaja.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw pula berkata, Muhyiddin hanya mengeluarkan pendapatnya sendiri dan menunjukkan keselesaannya mengadakan PRU13 tahun ini.

“Saya berpendapat yang Perdana Menteri perlu ambil kira semua aspek termasuk aspek ekonomi. Jika jejaskan ekonomi, ia turut akan jejaskan perasaan rakyat sebab itu PM tidak bersuara berhubung tarikh PRU,” kata Ahli Parlimen Kepong ini.

Beliau menambah, kenyataan Muhyiddin merupakan buah fikiran beliau dan ia harus dihormati.

“DAP sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi PRU13. Ini kerana scenario politik bukan hanya ditimbukan menjelang pilihan raya saja tetapi setiap hari.

“Tetapi kami mengharapkan agar perjalanan PRU13 nanti biarlah adil dan saksama. Jangan ada sebarang penyelewengan,” tegas beliau.

0 Response to "Lambatnya PRU-13-macam-macam persepsi Pembangkang"

Blog Archive