Tuesday, March 27, 2012

Satu Malaysia tertipu: Remaja perempuan berumur 14 mengaku diculik

SATU Malaysia tertipu!!!! apabila remaja perempuan Malaysia, yang berjaya diselamatkan oleh polis Thailand pada 19 Mac lepas bersama-sama lima remaja Myanmar, adalah perancang utama kes penculikan itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata maklumat itu diperolehi daripada keterangan konsisten lima remaja Myanmar terbabit ketika disoal siasat selepas dibawa ke negara ini pada Khamis lepas.

"Kesemua remaja Myanmar berkenaan yang berusia antara 14 dan 17 tahun itu memberitahu bahawa remaja perempuan berusia 14 tahun itu merupakan perancang utama dalam episod kes penculikan itu.

"Mereka turut memaklumkan kepada polis bahawa remaja perempuan itu memberikan idea supaya memberitahu pihak berkuasa Thailand bahawa kesemua mereka diculik walaupun berdasarkan kronologi kejadian kesemua mereka sebenarnya memang merancang perjalanan ke Thailand," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata sebaik dihantar oleh ibunya di perhentian bas di Seksyen 9 di sini pada 30 Jan lepas, remaja perempuan terbabit menelefon kesemua remaja Myanmar berkenaan dan bertemu di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 14 di sini.

Katanya, kumpulan remaja itu berpeleseran di sekitar Shah Alam sehingga pagi sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur untuk ke Seremban dengan alasan mencari nenek seorang daripada mereka pada 31 Jan, selain mahu melarikan diri daripada dua individu yang dikenali sebagai Shah dan Sadiq yang memaksa mereka untuk meminta sedekah.

Zahedi berkata kesemua mereka bagaimanapun dijumpai merayau-raya di Terminal One, Seremban dan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebelum dibebaskan keesokan paginya.

"Ketika ditahan di kompleks itu, remaja perempuan itu turut mengaku dirinya warganegara Myanmar bersama lima yang lain. Mereka kemudian pulang ke Kuala Lumpur pada 1 Feb dan meminta sedekah sehingga berjaya mengumpul wang tunai sebanyak RM400.

"Kumpulan remaja berkenaan menggunakan wang berkenaan untuk bermalam di sebuah hotel murah di Jalan Chow Kit dan membeli tiket bas untuk ke Rantau Panjang, Kelantan pada 8 pagi 2 Feb lepas dan tiba pada 6 petang sebelum terus menaiki sampan menyeberangi Sungai Golok, Thailand dan bermalam di rumah pakcik seorang daripada remaja Myanmar terbabit," katanya.

Beliau berkata kumpulan remaja itu kemudian menaiki keretapi menuju ke Bangkok pada 3 Feb dan berjumpa dengan seorang lagi pakcik seorang daripada remaja Myanmar terbabit, yang membantu mereka mendapatkan kerja dengan upah RM20 sehari di sebuah tapak projek.

Pada 11 Mac, Zahedi berkata seorang daripada remaja Myanmar terbabit mengajak mereka pulang ke Malaysia namun ketika mereka sedang menaiki keretapi untuk pulang ke Malaysia, kesemua mereka ditahan oleh polis Thailand di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok.

Beliau berkata rentetan kejadian itu, remaja perempuan berkenaan bertindak menghubungi ibunya pada 12 Mac dan mendakwa dirinya diculik oleh sekumpulan lelaki yang menaiki van putih di Seksyen 9 dan dibawa ke Thailand.

Zahedi berkata siasatan kes itu sudah 90 peratus siap dan esok, polis dijadual mengambil keterangan keluarga kesemua remaja Myanmar yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

"Kita jangka kertas siasatan akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi sebelum dimajukan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Zahedi berkata difahamkan kumpulan remaja terbabit termasuk remaja perempuan itu menjalankan aktiviti kutipan derma secara haram dan mengenali rapat antara satu sama lain.

Remaja perempuan itu dilaporkan hilang pada 30 Jan lepas selepas ibunya Norazura Roski, 37, menghantar mangsa yang tinggal di Seksyen 8 di sini ke sebuah perhentian bas di Seksyen 9 untuk ke rumah kawannya.

Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada 31 Jan selepas anak gadisnya itu tidak pulang ke rumah.

Remaja perempuan itu bagaimanapun menghubungi ibunya pada 12 Mac lepas dan memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini dan berjaya meloloskan diri dan diselamatkan polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok. - BERNAMA

1 comment:

Amin A. R said...

Kalau duduk rumah diam2 kan ke bagus.......

Blog Archive