Friday, March 02, 2012

Kalau Kerajaan Baik Hati, Pemimpin Baik Hati, Tak kan Rakyat Tak balas Budi: Musa

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yakin Barisan Nasional (BN) Sabah akan memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13 akan datang.

“Kita berkeyakinan untuk mencatatkan kemenangan besar dan perkara itu tidak mustahil dicapai jika semua anggota dalam BN bersatu dan bekerjasama dengan lebih baik,” katanya.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah berkata kemenangan cemerlang pada PRU sebelumnya dengan hanya kekalahan dua kerusi boleh mencapai hasrat itu kerana BN mempunyai rekod terbaik dan sentiasa menunaikan janji yang telah dibuat.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh jentera BN Sabah supaya bekerja lebih kuat bagi menawan semula dua kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri Sri Tanjung dan Parlimen Api Api.

“Jangan merajuk, jangan marah jika tidak dipilih menjadi calon pada PRU akan datang ini sebaliknya perlu bersatu hati membantu dan memenangkan calon yang telah dipilih untuk bertanding,’’ katanya.

Menurutnya, penerangan mengenai usaha yang dilakukan kerajaan itu sangat penting bagi pengetahuan rakyat agar tidak terkeliru tambahan lagi kewujudan media sosial yang begitu bebas.

“Mungkin ramai yang tidak sedar pelbagai projek pembangunan infrastruktur seperti jambatan, hospital dan lain-lain dilaksanakan dan ianya menelan peruntukan yang berjuta-juta ringgit, jadi kalau kita tidak bagi tahu pada rakyat mereka tidak akan tahu,’’ katanya

Beliau berkata, apa saja berita atau isu yang dikeluarkan pembangkang seolah-olah memperlihatkan kerajaan tidak melakukan apa-apa sedangkan pelbagai program telah dan sedang dirancangkan.

“Ia sememangnya satu hasutan dan fitnah yang besar jika pembangkang kata kita tidak melakukan apa-apa sedangkan kita berusaha membangunkan negeri ini secara holistik supaya tiada yang tertinggal merasai nikmat arus pembangunan,’’ katanya.

Jelasnya, kerajaan sentiasa sedar dengan mandat dan kepercayaan yang diberi rakyat melalui usaha dan kerja yang lebih.

“Bukan masuk bakul angkat sendiri tetapi telah terbukti bahawa kita banyak bekerja, kurang bercakap dan kita buktikan berbanding ada yang banyak bercakap, tetapi hanya berjanji kosong,’’ ujarnya.

Dalam pada itu beliau yakin rakyat negeri ini tidak akan mudah termakan hasutan pembangkang dengan isu yang memburuk-burukkan kerajaan.

“Kalau kerajaan itu baik hati dan pemimpinnya juga baik hati, tidak mungkin juga rakyat sampai hati dan kita pasti rakyat akan membalas budi,” katanya.

No comments:

Blog Archive