Monday, March 19, 2012

Akhirnya Tan Sri Abdul Kadir keluar UMNO

Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu.

"Saya baru saja menghantar surat kepada Setiausaha Agung Umno, peletakan jawatan selaku ahli Umno akan berkuat kuasa hari ini (Isnin)," kata Abdul Kadir dalam satu kenyataan.

Beliau turut memberitahu telah meletak jawatan selaku Bendahari Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu pada minggu lalu.

Abdul Kadir merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno dan menteri kabinet di bawah Barisan Nasional.

Pada minggu lalu, beliau dicabar untuk meletak jawatan ekoran dakwaannya berhubung budaya rasuah di dalam parti.

Abdul Kadir walau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian.

Pemimpin berusia 73 tahun itu menjadi ahli Umno dan memegang jawatan dalam parti berkenaan sejak tahun 1956 sehingga sekarang - selama 56 tahun.

Beliau pernah menjadi exco pemuda Umno selama 10 tahun dan ahli majlis tertinggi Umno selama 24 tahun di samping jawatan-jawatan lain seperti ketua pemuda Umno negeri Kedah dan sebagainya.

Beliau juga menjadi ahli pentadbiran kerajaan Malaysia sekitar 30 tahun, selaku setiausaha politik, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri. Antara kementerian yang pernah diterajuinya termasuk kementerian penerangan dan pelancongan.

Beliau kini adalah timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) yang diterajui seorang lagi pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Abdul Kadir sering mengeluarkan kenyataan yang membidas Umno, termasuk dakwaan BN membeli undi dan tiada kebebasan bersuara dalam parti itu.

17 Mac lalu, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Lembaga Disiplin Umno sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung dakwaan Abdul Kadir dan akan bertindak ke atasnya.

No comments:

Blog Archive