Thursday, February 02, 2012

Umno Bahagian Cheras:Sekali lagi Desak Shahrizat berundur

Umno Cheras hari ini sekali lagi menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil berundur daripada kabinet kerana isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) sedikti sebanyak memberi masalah kepada Umno.

Ketuanya Datuk Syed Ali Alhabshee berkata,desakan itu bukan atas alasan ‘kebencian peribadi' tetapi demi kebaikan parti dan kerajaan.

"Dalam isu ini, Shahrizat harus buktikan keikhlasan perjuangan beliau, sama ada untuk parti dan kerajaan atau pun lebih mengutamakan kepentingan keluarga," tegasnya.

Sebelum ini, Syed Ali (gambar) pernah mendesak supaya Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet kerana tidak mahu isu NFC menjadi beban kepada Umno dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Dalam tulisan terbaru di blog Umno bahagian itu, Syed Ali yang juga setiausaha Umno Wilayah Persekutuan dilapor berkata, di sesetengah tempat, isu itu menjadi bahan sindiran pelbagai pihak.

"Di sesetengah tempat, saya diberitahu isu NFC kini menjadi bahan sindiran kononnya mana-mana kawasan yang terbiar ditumbuhi rumput dan lalang, tak perlu lagi guna mesin pemotong rumput, sebab Umno dah ada lembu di Gemas," katanya.

Beliau juga menyokong saranan bekas ketua Wanita Umno dan menteri kabinet Tan Sri Rafidah Aziz yang dilapor berkata, pemimpin yang membawa masalah kepada Umno dan kerajaan perlu segera meletakkan jawatan.

Katanya, saranan Rafidah itu jelas ditujukan kepada Shahrizat yang sedang bercuti berikutan kontroversi isu NFC.

"Saya menyokong penuh pendapat Rafidah, yang antara lain mempersoalkan mengapa dia (Shahrizat) harus bercuti, itu bukan perkara pokok kepada isu tersebut," katanya lagi.

Perkara penting kata Syed Ali, seperti dinyatakan oleh Rafidah ialah buat keputusan muktamad dan jangan tinggalkan kepada perdana menteri untuk membuat keputusan bagi pihak dirinya.

Rafidah dalam wawancara dengan The Malay Mail semalam dilapor melancarkan serangan pedas pada penggantinya Shahrizat dengan berkata seorang pemimpin patut berundur sekiranya mendatangkan masalah kepada parti.

Walaupun tidak menamakan Shahrizat, harian berbahasa Inggeris itu melaporkan, ia jelas merujuk kepada isteri pengerusi syarikat pengendali NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail itu.

"Ini untuk (kebaikan) semua, sama ada berkenaan isu lembu atau tidak. Itu tindakan paling matang untuk berdepan dengan masalah kamu," beliau dilapor sebagai berkata.

Beliau juga mempersoalkan tindakan menteri itu mengambil cuti tiga minggu kerana beliau patut membuat keputusan dan tidak harus meninggalkan isu itu kepada perdana menteri.

No comments:

Blog Archive