Sunday, January 22, 2012

Skandal NFC: Shahrizat salah dapat nasihat: Dr Chua Soi Lek

Kerajaan Barisan Nasional (BN), dan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, menguruskan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) dengan lemah, dan menyebabkan masyarakat melihatnya sebagai “sangat teruk”, menurut Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Presiden MCA itu menjelaskan, Shahrizat telah “dinasihatkan dengan lemah” berhubung perkara itu selepas ia dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 dan menambah, Shahrizat seharusnya mengambil tindakan awal apabila berhadapan dengan desakan untuk meletak jawatan.

“Mereka harus menangkap lembu menggunakan tanduknya. Tindakan pertama adalah mengaudit. Mendedahkan secara terbuka berkenaan skandal tersebut,” kata Dr Chua (gambar) kepada The Malaysian Insider dalam temubual eksklusif di ibu Pejabat MCA di sini.

Menurutnya, sejumlah RM250 juta dana kerajaan dalam NFC “mempunyai masalah”, yang kemudiannya dimanipulasi pembangkang di media.

“Berikutan mereka (pembangkang) mempunyai maklumat, mereka akan menggunakannya sebagai platform dan tindakan mereka itu memburukkan keadaan.

“Dan kerajaan BN bertindak sangat perlahan dan tidak telus sepenuhnya,” katanya.

Namun begitu, Dr Chua menyanggah dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Razak membisu berhubung isu tersebut tidak bermakna beliau mempertahankan Shahrizat atau mana-mana menteri Kabinetnya.

Beliau menegaskan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan siasatan dan kerajaan juga telah mengumumkan perjumpaan dengan firma perakaunan untuk mengaudit akaun National Feedlot Corporation’s (NFCorp).

NFCorp diusahakan oleh suami Shahrizat dan anak-anaknya.

Tambah Dr Chua, sekiranya audit berkenaan mendedahkan kecelaruan dalam NFC, Shahrizat seharusnya tahu tindakan yang harus diambilnya..

“Beliau bukan ahli junior (dalam Kabinet), beliau sudah bertaraf senior.

“Firasat saya merasakan Shahrizat berkemungkinan tidak mendapat khidmat nasihat yang betul, dan juga mungkin menurutnya, jika Wanita Umno menerimanya, tiada masalah terhadap perkara itu,” tambahnya.

Shahrizat dilihat beroleh sokongan padu daripada perwakilan Umno ketika Mesyuarat Agung Umno baru-baru ini walaupun menerima kecaman hebat daripada masyarakat dalam pertuduhan skandal NFC.

Shahrizat juga memohon cuti selama tiga minggu daripada jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, supaya siasatan penuh dapat dijalankan. Malahan, beliau turut memfailkan saman fitnah sejumlah RM100 juta terhadap penuduhnya dalam PKR.

Projek penternakan lembu menjadi tajuk hangat selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengeluarkan terdapatnya kecelaruan dalam projek yang diurus tadbir oleh keluarga Shahrizat tersebut.

Sejak itu, PKR telah membuat beberapa siri pendedahan termasuk pembelian dua kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan dituduh menggunakan dana kerajaan tersebut untuk perbelanjaan peribadi keluarganya.

Parti pembangkang itu itu turut menuduh keluarga Shahrizat menggunakan sejumlah RM600,000 daripada dana NFC bagi membiayai pembayaran bil kad kredit mereka pada 2009.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa suami Wanita Umno, dan anak-anaknya yang menjadi lembaga pengarah NFC, menggunakan dana daripada RM250 juta untuk projek berkenaan bagi membayar bil kad kredit yang berjumlah melebihi RM10,000 sebulan sepanjang tahun tersebut.

Namun begitu, pentadbiran NFCorp menepis dakwaan tersebut dan menegaskan penggunaan kad kredit tersebut adalah untuk kegunaan perniagaan.

Mereka turut menafikan tuduhan dana RM250 juta itu telah dipindahkan ke akaun mereka sebelum perjanjian pinjaman tersebut dimeterai.

No comments:

Blog Archive