Latest News

Pembekuan ASSET NFC terlalu lambat: Perkasa

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan Putrajaya sepatutnya membekukan aset Pusat Fidlot Nasional (NFC) sebaik sahaja kontroversi pusat ternakan lembu itu muncul November lalu.

Ibrahim (gambar-tengah) berkata, rakyat sebenarnya mengharapkan tindakan segera dan pantas dalam isu-isu sedemikian.

“Satu langkah yang patut diambil dari awal, sebaik sahaja kes NFC berbangkit... tindakan seumpama ini yang hendak dilihat oleh rakyat iaitu tindakan segera dan pantas.pasti ianya dialu-alukan oleh rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Keputusan membekukan aset NFC diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Ibrahim menambah tidak wajar mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai, sebaliknya memberi keyakinan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tetapi akibat dari mainan politik pembangkang, sebarang isu yang timbul di pihak kerajaan pusat atau negeri Barisan Nasional (BN), belum apa-apa mereka sudah jatuh hukum bersalah.

“Tapi jika berlaku di negeri pentadbiran Pakatan Rakyat, awal-awal lagi mereka mengatakan itu fitnah puak BN dan tidak benar. “Jika benar sekali pun, mereka akan dakwa pihak BN sengaja lakukan sebab mahu burukkan PR,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas ini.

Katanya, “inilah permainan politik dan inilah juga trend persepsi rakyat.”

Kata Ibrahim, rakyat mesti memberi keyakinan kepada SPRM dan polis untuk menyiasat kontroversi itu dengan telus.

Sementara itu Penaung Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Dr Maamor Osman berkata langkah itu adalah amalan biasa yang dilaksanakan polis dan SPRM untuk menyita harta yang dipertikaikan ketika penyiasatan dilakukan.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak memilih bulu (pilih orang) dalam usaha mencari kebenaran, sesuai dengan pepatah ‘No Fear, No Favour’ iaitu tidak takut dan tidak memihak untuk memberi perlindungan,” katanya dipetik Bernama.

Sehubungan itu, Dr Maamor berharap pihak berkuasa yang terbabit dapat melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas dan jujur bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan sesebuah organisasi itu.

“Segala langkah penyelesaian mengenai masalah ini biarlah diuruskan oleh pihak yang berwajib,” katanya.

0 Response to "Pembekuan ASSET NFC terlalu lambat: Perkasa"

Blog Archive