Friday, January 13, 2012

Isu NFC: Shahrizat bercuti tiga minggu bermula hari ini

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu bermula hari ini daripada menjalankan tugas sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama semalam, Shahrizat berkata beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai National Feedlot Corporation (NFC) di mana suami saya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif," katanya.

Shahrizat berdepan isu NFC, yang diterajui Mohamad Salleh, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu merumuskan projek itu berdada dalam keadaan kucar kacir.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang bahawa wujudnya penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Antara mereka yang secara terbuka mendesak Shahrizat supaya melepaskan jawatannya, adalah ahli parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh dan ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Meskipun diasak pelbagai pihak yang menuntut perletakan jawatannya, tetapi Shahrizat bertegas tidak mahu berbuat demikian dengan alasan apa yang dilakukan oleh suaminya tidak ada kaitan dengan dirinya.

Berikutan itu, PKR membuat pendedahan demi pendedahan yang mendakwa berlaku penyelewengan terhadap dana berkenaan.

Antara pendedahan mereka, dana itu antara lain digunakan untuk tujuan berikut:

Membeli dua unit kondominium mewah 'One Menerong' (RM13.8 juta)
Membiayai Umrah atas nama suami dan anak lelaki (RM31,580)
Perbelanjaan peribadi (RM26,400)
Membeli Mercedes Benz CLS350 (RM534,622)
Membeli dua lot tanah di Putrajaya (RM3.36 juta)
Percutian mewah (RM455,423)

Pada pilihan raya umum 2008, Shahrizat gagal mempertahankan kerusi parlimen beliau di Lembah Pantai. Ketua Wanita Umno itu tumbang di tangan calon PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau bagaimanapun, kemudiannya dilantik sebagai senator dan diangkat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

No comments:

Blog Archive