Sunday, January 15, 2012

Dipecat: Tiada sebab saya merayu: Hassan Ali

Bekas pemimpin kontroversi PAS Datuk Dr Hasan Ali membayangkan tidak akan mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya walaupun diberi tempoh merayu sehingga bulan depan.

Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat parti Islam itu minggu lalu diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama sebelum 7 Februari depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia ini berkata beliau tidak kesal dengan pendirian tersebut selepas merasakan perjuangan di dalam PAS dikhianati khususnya oleh sekumpulan ‘parasit’ yang lebih rela menghargai dan meraikan perjuangan orang lain.

“Saya tak boleh, jiwa saya tak boleh. Saya tidak nampak kenapa harus kekal dalam parti,” katanya pada Program Bicara Memurnikan Akidah Ummah, anjuran Sekretariat Selamatkan Akidah (Himpun) di Taman Bolton, Kuala Lumpur.

Memetik Sinar Harian, Hasan (gambar) meluahkan kekecewaan itu apabila perjuangannya mempertahankan akidah umat Islam di Selangor ditentang parti sendiri.

“Saya tidak boleh melakukannya ketika dalam parti, kerana rakan dalam parti dan kumpulan ‘parasit’ ini tidak suka isu arak dan murtad di Selangor diperjuangkan kerana hendak meraikan rakan lain yang bersekongkol dalam parti.

“Saya sanggup digugur dalam Exco dan meninggalkan segala keistimewaan. Walaupun saya cukup selesa dengan kedudukan sebagai Exco, saya tinggalkan demi menyelamatkan diri, anak—anak, keluarga dan umat Islam,” katanya di hadapan kira-kira 100 peserta yang turut menampilkan Dr Azhar Yaakob dan Farhan Abdullah sebagai ahli panel.

Hasan berkata, penentangan terhadap perjuangannya terbukti apabila beliau dikritik oleh pemimpin PAS, gara-gara memberi sokongan penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung pemeriksaan gereja tahun lalu.

“Saya tidak berseorangan dalam perkara ini, dalam tempoh terdekat akan terdapat pergerakan besar—besaran memperjuangkan akidah umat Islam dalam negara,” katanya.

Ekoran pemecatan daripada PAS, Hasan turut digugurkan daripada jawatan exco kerajaan negeri Selangor.

Pemecatan Hasan dibuat PAS kerana pemimpin itu berulang kali mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang bertentang dengan dasar parti Islam itu.

No comments:

Blog Archive