Latest News

Rakyat perlu pertahan Kerajaan BN: Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat memilih semula Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) supaya setiap program transformasi yang dirancang oleh kerajaan sejak dua setengah tahun yang lalu dapat diteruskan.

Perdana Menteri berkata, beliau sedar kuasa untuk memilih kerajaan terletak sepenuhnya di tangan rakyat, justeru adalah amat penting bagi BN mendapatkan mandat tersebut agar segala perubahan demi meningkatkan taraf hidup rakyat serta menjadikan Malaysia negara maju berjalan mengikut jadual.

Beliau berkata, tidak dinafikan Malaysia kini berada pada landasan yang betul ke arah menjadi sebuah negara maju di rantau ini menjelang 2020, namun ia amat memerlukan sokongan tidak berbelah-bahagi daripada rakyat dengan diberikan kepercayaan untuk terus memerintah.

"Tarikh pilihan raya belum ditentukan lagi tetapi besarlah harapan saya pada pilihan raya itu nanti BN terus mendapat mandat serta kepercayaan daripada rakyat untuk mentadbir negara.

"Kita amat memerlukan sokongan mereka kerana kita mahu memastikan setiap program transformasi yang didasarkan untuk kepentingan rakyat dan negara mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama dalam Forum Antarabangsa yang bertajuk 'Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial di Era Krisis Global' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Forum yang disertai oleh para duta serta wakil parti politik dari seluruh dunia itu diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang bermula hari ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai usaha keras beliau melakukan pembaharuan kepada UMNO sebagai parti tunjang di dalam BN bagi memastikan parti terbesar orang Melayu itu sentiasa relevan.

Beliau berkata, UMNO merupakan sebuah parti yang telah lama memerintah iaitu sejak negara mencapai kemerdekaan dan mahu tidak mahu perubahan perlu dilakukan sekiranya ia mahu terus diterima oleh orang Melayu.

"Saya pernah kata di hadapan ahli-ahli UMNO sekiranya UMNO tidak mahu berubah akhirnya UMNO akan diubah (oleh rakyat)," katanya.

Beliau berkata, realitinya landskap politik negara sudah berubah, untuk itu pemimpin UMNO perlu membuat sesuatu demi menjamin kelangsungannya.

Beliau turut berkongsi pengalaman dengan para peserta forum cara BN berjaya mengekalkan kuasa di negara ini lebih 50 tahun lalu iaitu melalui formula perkongsian kuasa antara orang Melayu, Cina, India serta golongan etnik yang lain.

"Melalui formula ini kita berjaya mengelakkan berlakunya pertentangan kaum dan rasa tidak puas hati sesama mereka. Dengan kata lain, kita berjaya mewujudkan kestabilan politik dan negara," ujarnya.

Beliau berkata, konsep perkongsian kuasa yang diamalkan di dalam sistem pemerintahan negara adalah cetusan idea daripada bapa-bapa perjuangan terdahulu selepas mereka mendapati negara juga didiami oleh pelbagai kaum dan etnik selain Melayu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan pilihan raya yang diadakan di negara ini adalah bersih dan bebas daripada sebarang penipuan.

"Sebagai bukti pada pilihan raya yang lalu kita kalah di lima negeri dan juga kalah di beberapa kerusi Parlimen, tetapi kita dapat semula satu negeri (Perak). (Oleh itu) Jika tuan-tuan mendakwa pilihan raya kami tidak bebas cuba buktikan," katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, sistem pilihan raya di negara ini perlu diperkemaskan lagi selaras dengan perkembangan semasa dan atas sebab itu kerajaan telah mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

0 Response to "Rakyat perlu pertahan Kerajaan BN: Najib"

Blog Archive