Tuesday, December 27, 2011

Projek Iskandar: Satu lagi skandal penyumbang indeks rasuah negara menjunam

Sebuah syarikat pemaju yang terlibat dalam projek mega membangunkan Iskandar Malaysia, Johor sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujudnya unsur rasuah dalam projek yang bernilai bilion ringgit itu, laporan Utusan semalam.

Siasatan terhadap syarikat itu dibuat kerana dipercayai berlaku unsur penyelewengan dalam perolehan kontrak dan beberapa projek yang dipertanggungjawabkan kepada syarikat berkenaan.

Akhbar milik Umno itu melaporkan bahawa penyelewengan tersebut turut melibatkan orang tengah yang bertanggungjawab mendapatkan beberapa projek untuk syarikat itu.

Syarikat yang disiasat itu bertanggungjawab membangunkan pelbagai projek besar dalam Iskandar Malaysia antaranya pembinaan infrastruktur, pusat pendidikan, kawasan perumahan, jalan, lebuh raya serta pusat riadah yang bernilai ratusan bilion ringgit.

Antara projek itu adalah pakej 3B iaitu membina dan menyiapkan persimpangan Jalan Abu Bakar bernilai RM124 juta, pembangunan Sekolah Berasrama Penuh di Sebahagian Lot PTD Mukim Pulai bernilai RM40.8 juta serta jalan alternatif Kampung Sungai Pendas Laut bernilai RM2.7 juta.

Difahamkan, SPRM sudah menyiasat beberapa projek yang disyaki berlaku penyelewengan dan rasuah itu sejak tahun lalu.

SPRM juga dikatakan telah membuat serbuan ke atas ibu pejabat syarikat tersebut serta beberapa syarikat di sekitar Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Akbar berbahasa melayu itu juga turut melaporkan bahawa kajian ke atas dokumen-dokumen yang berkaitan kes itu telah dijalankan serta beberapa saksi dipercayai telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Malah, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang merupakan orang tengah projek mega berkenaan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pagi esok.

Sementara itu, Pengarah Siasatan dan Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan pihaknya sedang menyiasat syarikat tersebut, namun beliau enggan mengulas lanjut.

Iskandar Malaysia yang fasa pembangunannya sehingga tahun 2025 akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan terbesar rantau ini dengan keluasannya dua setengah kali ganda Singapura.

Projek Iskandar Malaysia dilancarkan semasa Tun Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri, bagi menggantikan Jambatan bengkok yang beliau telah batalkan.

No comments:

Blog Archive