Monday, November 28, 2011

Najib berada dilandasan betul untuk capai wawasan 2020: Tun Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berada di landasan untuk membawa Malaysia mencapai Wawasan 2020.

"Beliau (Najib) berusaha keras. Saya tidak boleh kata yang beliau berupaya untuk (membawa negara) mencapai Wawasan 2020 tetapi banyak orang berkata Malaysia sudahpun menjadi sebuah negara maju," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata Najib berdepan "kesukaran" berikutan mempunyai majoriti kecil di Parlimen dan perlu menguruskan krisis.

"Beliau tidak mempunyai majoriti sepertimana yang saya ada. Saya mempunyai (lebih besar) majoriti yang membolehkan saya mengendalikan pembangkang. Jadi, beliau berdepan kesukaran," katanya kepada pemberita selepas menganjurkan majlis makan tengah hari untuk perwakilan yang menghadiri Forum Antarabangsa bertema "Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global" sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini.

Terdahulu, semasa merasmikan forum itu, Najib secara berseloroh berkata "Saya beritahu Dr Mahathir 'anda lakukan bahagian mudah, anda lakukan bahagian "apa", tetapi saya perlu lakukan bahagian 'bagaimana'."

Mengenai Umno, Dr Mahathir berkata parti itu semakin berkembang maju dan "jauh lebih baik daripada pada 2008".

"Pada (pilihan raya umum) 2008, saya tahu banyak anggota Umno mengundi pembangkang bukan kerana mereka "kurang sayangkan Umno" tetapi mereka tidak sukakan kepimpinan pada masa itu," katanya. BERNAMA

No comments:

Blog Archive