Sunday, July 24, 2011

Tilawah Al-Qur'an: Qari dan Qariah milik Malaysia

Amirrahman Abas dan Suraya Abu Hassan dari Malaysia masing-masing dinobatkan sebagai johan qari dan qariah majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53 yang berlangsung di ibu negara malam tadi.

Amirrahman dan Suraya juga muncul johan pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-54 di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM32,200, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Laporan Bernama Online menyebut johan qari memperoleh pungutan markah sebanyak 89.26 peratus manakala johan qariah mendapat 88.33 peratus.

Sementara itu, Saudi M. Gandisa dari Filipina (88.67 peratus) dan Noor Khalidah Kaspul Anwar (88.30 peratus) dari Indonesia masing-masing muncul sebagai naib johan qari dan qariah yang melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM22,400, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula dimenangi qari dari Mesir iaitu Abdel Bast Mohamed (87.88 peratus) dan qariah dari Singapura Nur Azizah Sholichin (86.17 peratus) yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM13,600, cenderamata serta sijil penyertaan.

Peserta-peserta lain menerima hadiah saguhati iaitu wang tunai RM4,800, cenderamata dan sijil penyertaan.

Majlis tilawah yang bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah itu berlangsung selama lapan malam sejak 16 Julai lalu dan disertai 81 peserta termasuk 50 qari, dari 50 negara termasuk Sri Lanka, Sudan, Thailand, Senegal serta Gambia.

Sementara itu, Amirrahman, 29, yang bertugas sebagai guru agama di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu, Negeri Sembilan ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata beliau amat bersyukur dengan kejayaan itu meskipun kurang sihat pada hari pembacaan sekali gus dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Beliau berkata kemenangan itu akan menjadi pendorong mendidik generasi muda agar bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu al-Quran.

Suraya, 39, juga mengakui tidak menduga akan mendapat kejayaan itu setelah menjadi johan qariah pada peringkat kebangsaan dan pernah mendapat tempat naib johan peringkat antarabangsa pada 2002.

“Cita-cita saya telah tercapai untuk menjulang kejuaraan pada peringkat antarabangsa selepas berehat dari bidang tilawah selama sembilan tahun,” katanya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

No comments:

Blog Archive