Friday, June 24, 2011

Trio Datuk T mengaku bersalah

KUALA LUMPUR: Trio Datuk T mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan melibatkan pendedahan video seks yang dikatakan mirip seorang pemimpin pembangkang.

Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Shuib Lazim didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah iaitu video seks adengan seorang lelaki dan wanita secara terbuka.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik pula didakwa secara berasingan atas tuduhan bersubahat dengan mereka untuk melakukan kesalahan tersebut.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu di bilik Seri Makmur, Hotel Carcosa Seri Negara, Taman Tasik Perdana, Persiaran Mahameru di sini.

Pendakwaan terhadap Shazryl Eskay dan Shuib dibuat mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan Akta 574 manakala pertuduhan terhadap Abdul Rahim dibuat mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama bagi persubahatan.

Jika sabit kesalahan, semua mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selepas pertuduhan dibacakan, semua tertuduh mengaku faham dan memohon agar prosiding ditangguhkan sebentar untuk membolehkan mereka berbincang dengan peguam masing-masing.

No comments:

Blog Archive