Saturday, June 04, 2011

Pemilihan Pas: Mat Sabu menang, kumpulan Erdogan kuasai PAS

Mohamad Sabu sah menang kerusi jawatan timbalan presiden PAS dalam percubaan kali kedua dengan menewaskan dua calon termasuk penyandangnya Nasharudin Mat Isa, sekali gus menyaksikan barisan kepimpinan parti itu kali ini dikuasai kumpulan profesional.

Mohamad, bekas naib presiden, memperoleh 420 undi — keputusan yang dilihat menarik perhatian banyak pihak di dalam dan luar parti itu.

Nasharudin yang menyandang jawatan itu sejak 2005 hanya menerima 224 undi manakala seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat 399 undi.

Selepas tewas pemilihan 2009 Mohamad yang mesra dipanggil “Mat Sabu” dilantik sebagai ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Di peringkat naib presiden Salahuddin Ayub dan Datu Mahfuz Omar mengekalkan kerusi masing-masing dan Datuk Paduka Husam Musa kembali dipilih ke jawatan itu.

Salahuddin menerima undi terbanyak iaitu 753, Husam di tempat kedua dengan 660 undi manakala Mahfuz 616 undi.

Tiga lagi calon iaitu Idris Ahmad, Datuk Mohd Omar Abdulalh dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin masing-masing menerima 491, 321 dan 217 undi.

Dalam pada itu, kerusi ahli jawatankuasa kerja pusat yang menawarkan 18 tempat, dua pertiganya dikuasai oleh kumpulan profesional atau sering dilabel sebagai puak Erdogan.

Seramai 53 calon bertanding kerusi ahli jawatankuasa kerja pusat kali ini.

Pengerusi Anak Mazlan Aliman mendapat undi terbanyak iaitu 804 dan disusuli oleh Dr Hatta Ramli (765), Datuk Kamaruddin Jaafar (739), peguam PAS Hanipa Maidin (735), Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721), Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad (702), Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa (651), Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (643), Abdul Ghani Shamsuddin (579), Amiruddin Hamzah (576), Ahli Parlimen Kuala Terengganu Abdul Wahid Endut (556), Datuk Abu Bakar Chik (527), Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah (470), Datuk Dr Mahfodz Mohamed dari Johor (449), Ahli Parlimen Kota Raja dan Timbalan Ketua Muslimat Dr Siti Mariah Mahmud (445), Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali (437), Abdul Ghani Abdul Rahman (430) dan bekas ketua Muslimat Nuridah Salleh (416).

No comments:

Blog Archive