Friday, March 25, 2011

PRU Sarawak:DAP tidak boleh berpakat dengan PKR: Setiausaha Agun DAP Sarawak

SIBU, 24 Mac (Bernama) -- Harapan untuk menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 nampaknya berkecai selepas perbincangan terbaru antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pertindihan kerusi menemui kegagalan.

Pakatan pembangkang terdiri daripada PKR, DAP, PAS dan parti yang berpusat di negeri ini, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Setiausaha Agung DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata parti itu meminta 18 daripada 71 kerusi, iaitu Padungan, Pending, Batu Lintang, Batu Kawa, Kota Sentosa, Simanggang, Balai Ringin, Bukit Assek, Pelawan, Dudong, Bawang Assan, Repok, Meradong, Kidurong, Senadin, Piasau, Pujut dan Bukit Kota.

"Dalam perbincangan itu, kami menyerahkan Padungan dan Senadin kepada PKR dengan harapan agar kami dapat memastikan pertandingan satu lawan satu tetapi PKR masih menegaskan supaya DAP bertanding hanya bagi 13 kerusi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata meskipun DAP melakukan kompromi, PKR masih berkeras supaya DAP menyerahkan Batu Kawah, Dudong dan Balai Ringin.

"Kami tidak dapat menyetujui permintaan PKR bagi tiga lagi kerusi meskipun kami menyerahkan dua daripadanya kepada mereka. Ini berita buruk. Perkara ini tidak bagus," kata Chong, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Sentosa dan Anggota Parlimen Bandar Kuching.

Chong berkata dengan perkembangan terbaru itu, parti berkenaan 'tiada pilihan' melainkan untuk melakukannya bersendirian tanpa menolak kemungkinan berlakunya pertandingan beberapa penjuru dan pembangkang bertanding menentang satu sama lain.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetepikan bahawa beberapa usaha pada saat akhir boleh diambil untuk menyelesaikan masalah itu meskipun beliau tidak begitu optismitik mengenainya.

Pada pilihan raya negeri 2006, calon DAP dan PKR bertanding menentang satu sama lain di Padungan sungguhpun mereka berdepan penyandang daripada BN, Datuk Lily Yong Lee Lee.

Dominic Ng Kim Ho daripada PKR memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,417 undi.

Pencalonan akan diadakan pada 6 April manakala pengundian pula pada 16 April.-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive