Thursday, March 03, 2011

Mahkamah Jalan Duta:Bicara dalam bicara

Sebentar lagi perbicaraan dalam perbicraan bermula. Anwar dijangka menjadi orang pertama memberi keterangan dan Sankara Nair menjadi saksinya.

Ringkasan Keputusan semalam

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan perbicaraan dalam perbicraan selepas mendengar penghujahan daripada pihak pendakwa dan pembela, bahawa pada umumnya mahkamah tidak mengambil bagaimana barang bukti itu diperoleh.

“Memandangkan pihak pembelaan menuntut mahkamah menggunakan kuasa kebijaksanaannya bagi membenarkan permohonan mereka bagi perbicaraan dalam perbicaraan, dan memandangkan dakwaan mengenai cara yang tidak sopan dan ketidakadilan dalam mendapatkannya dibangkitkan, dengan ini saya membenarkan permohonan ini,” kata Hakim Mohamad Zabidin.

Sebelum itu, Karpal Singh mahukan perbicaraan pada peringkat itu daripada pada penghujung semua keterangan dikemukakan dalam mahkamah berhubung penangkapan ke atas Anwar seperti dicadangkan oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden.

Karpal berhujah bahawa tertuduh perlu dilindungi secara munasabah oleh mahkamah dan mahkamah perlu menolak apa sahaja keterangan yang diperolehi polis melalui cara yang melanggar undang-undang.

“Mahkamah perlu menolak keterangan yang diperolehi melalui cara yang melanggar undang-undang, di mana kami akan menunjukkan kepada mahkamah ini bahawa barang bukti yang diperolehi dari sel diperoleh secara paksa,” kata Karpal.

Beliau menjelaskan beberapa kes undang-undang mengenai perbicaraan yang adil di mana tanggungjawab pendakwaan bahawa semua keterangan atau barang bukti diperoleh secara sewajarnya oleh polis melalui prosedur yang sesuai.

“Hak asas dan kebebasan seseorang individu tidak boleh dinafikan dan mahkamah perlu menolak keterangan-keterangan yang diperoleh secara haram,” kata Karpal.

Pada selasa, bekas Ketua Makmal Forensik PDRM Cheras Supt Hamidon Adnan member keterangan bahawa beliau memperoleh empat barang bukti iaitu rambut, botol, tuala dan berus gigi, dari sel yang dihuni oleh Anwar di tingkat 7 ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Anwar, 63, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, yang merupakan bekas pembantu peribadinya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Sementara itu, Mohamed Yusof berhujah bahawa isu mengenai perbicaraan dalam perbicaraan tidak dibangkitkan pada peringkat ini dan pihak pembelaan perlu menunggu sehingga semua keterangan dikemukakan di mahkamah sebelum membuat permohonan sedemikian.

Beliau berkata hanya pagi ini pendakwaan dimaklumkan oleh pihak pembelaan bahawa menandakan barang bukti itu bukan isunya tetapi titik pertikaiannya adalah mengenai penahanan Anwar yang tidak mengikut undang-undang.

Mohamed Yusof berkata pada peringkat ini isu sama ada keterangan yang dikemukakan terutama mengenai empat barang bukti yang diperolehi secara sukarela atau tidak, tidak berbangkit sama sekali.

“Di sini, mungkin mereka (pembelaan) perlu menunggu sehingga pegawai penyiasat (IO) masuk ke kandang saksi berhubung penangkapan (Anwar) bagi mengelakkan proses lebih panjang pada peringkat ini dalam perbicaraan dalam perbicaraan,” hujah Mohamed Yusof.

No comments:

Blog Archive