Sunday, December 19, 2010

Tamparan hebat untuk Nik Aziz:Islam!!: DAP tidak boleh berkompromi: Karpal Singh

KEPALA BATAS, 19 Dis — Karpal berkali-kali menegaskan meskipun DAP semakin selesa membina ikatan kukuh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat manakala parti-parti sekular Umno dan PKR pula giat memikat para ulama, ia masih berpendirian menentang usaha pembentukan sebuah negara Islam.

“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.

“Ia (Malaysia) sebuah negara sekular. Saya percaya Allahyarham Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) pernah menyebut sebelum ini mengenai Malaysia,” kata ahli politik veteran ini.

Karpal sebelum ini pernah menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengubah realiti sebuah negara sekular menerusi kenyataan-kenyataan politiknya yang dibuat oleh beliau pada masa-masa lalu, yang telah “mengelirukan orang ramai” berkenaan identiti Malaysia.

“Perlembagaan menyediakan peruntukan mengenai perkara ini. Tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan Malaysia sebuah negara Islam.

“Agama rasmi Malaysia ialah Islam tetapi tidak bermakna ia sebuah negara Islam,” kata beliau lagi.

Pada 1990, ketika satu ceramah di Sungai Pinang, akhbar-akhbar memetik beliau sebagai berkata biar PAS membina “negara Islam dengan melangkah mayat saya.”

“Saya mengatakan demikian dalam hubungan kepada perlembagaan. Tetapi saya kekal dengan pendirian itu, mengatakan perkara yang sama sekarang,” kata Karpal.

Ikatan antara DAP dan PAS bukan sesuatu yang baru dalam bentuk Pakatan Rakyat.

Kedua-dua parti itu pernah menjalin kerjasama dengan mewujudkan Barisan Alternatif pada pilihan raya umum 1999, tetapi gagal meneruskan jalinan ekoran isu negara Islam.

Dalam ucapannya, Karpal juga berkata, Pakatan Rakyat tidak harus membentuk kerajaan pusat jika memenangi pilihan raya umum ke-13 tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini merupakan Ketua Pembangkang dan ketua umumnya.

“Kita tidak boleh pergi ke Putrajaya (membentuk kerajaan persekutuan) tanpa Anwar,” kata Karpal sambil menambah beliau akan menggunakan segala keupayaan yang ada untuk membebaskan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Karpal merupakan peguam utama kes liwat dihadapi Anwar, yang menurutnya merupakan satu fitnah.

Sehubungan itu, Karpal juga mahu parti-parti komponen Pakatan Rakyat memilih calon yang terbaik dan integriti, dan tidak mahu kesilapan pilihan raya umum 2008 berulang.

Malah Karpal juga menyindir Anwar tidak mendengar nasihatnya agar tidak menerima masuk Datuk Zaid Ibrahim, yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru sebagai ahlinya tahun lalu.

“Saya ada beri Anwar amaran, bukan nasihat tetapi dia tak dengar,” kata beliau yang turut mengungkit personaliti Datuk Seri Zahrain Hashim dan Zulkifli Noordin, masing-masing ahli Parlimen Bayan Baru dan Kulim-Bandar Bahru yang keluar PKR awal tahun ini.

Oleh itu kata Karpal, Pakatan Rakyat memerlukan pemilihan calon terbaik untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Blog Archive