Sunday, November 29, 2009

Sedikit Mengenai Sejarah BTN. Ada Apa Didalamnya??

Biro Tatanegara (BTN) ditubuhkan pada 1981, melaksanakan program yang menepati objektif utama iaitu memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara di kalangan warganegara.

Era Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Najib Tun Razak peranan BTN ialah menerapkan semangat gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Fungsi Pada tahun 1980-an, semasa program belia, fungsi Biro Tatanegara (BTN) ketika itu ialah mengawasi kegiatan gabungan belia dan pelajar bagi memastikan mereka bertindak selaras dengan kehendak aspirasi negara.

Pada tahun 1981, selaras dengan keputusan Kerajaan, fungsi BTN telah diperluaskan untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara serta meningkatkan semangat keislaman di kalangan semua lapisan masyarakat termasuk belia, pelajar, kakitangan kerajaan dan sektor swasta.

Antara lagu yang sering dinyanyikan dalam kursus BTN ialah lagu Warisan. Peserta dibimbing untuk memahami perkara yang tersurat dan tersirat dalam lagu tersebut. Meskipun kelihatan semangat kemelayuan yang ketara dalam lagu tersebut, namun objektifnya ialah bagi mengeluarkan orang Melayu daripada kancah kemiskinan dan akhirnya mencapai matlamat utamanya iaitu perpaduan kaum.

Hal ini adalah selari dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu membenteras kemiskinan tanpa mengira kaum dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum di Malaysia. Kerajaan amat sedar bahawa perbezaan taraf ekonomi dan sosial antara kaum di Malaysia adalah penyebab utama berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Seterusnya pada November 1986, aktiviti BTN diperjelas dan diperkembangkan kepada melatih pemimpin dan bakal pemimpin supaya mereka mendukung usaha-usaha pembangunan dalam beberapa bidang seperti agama, sosial, politik, ekonomi dan pendidikan.

Pada tahun 1992, Jawatankuasa Penyelaras Latihan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri telah memutuskan BTN melaksanakan Program Bina Negara yang melibatkan penganjuran kursus, seminar dan aktiviti yang bercirikan latihan perubahan sikap.

Program Bina Negara telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri serentak dengan Kursus Bina Negara 1 yang diadakan pada 1 hingga 4 Januari 1992.

Objektif

Mencipta semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia dengan memberikan keutamaan kepada golongan pelajar, cendekiawan dan pemimpin-pemimpin masyarakat dengan hasrat mewujudkan satu negara dan bangsa yang kuat dan bermaruah melalui rancangan latihan dan penyelidikan kemasyarakatan.

Misi

Memberi sumbangan bermakna dalam usaha mencipta kegemilangan masyarakat Malaysia.

Kontroversi

Semangat Kenegaraan Penyertaan dalam Kursus BTN adalah wajib untuk semua pelajar yang mendapat biasiswa kerajaan untuk ke luar negeri. Tujuan kursus tersebut adalah untuk menyemai semangat kenegaraan di kalangan pelajar tersebut agar terus bersikap patriotik ketika di luar negeri. Namun begitu, timbul banyak aduan daripada peserta kursus tersebut (terutamanya yang berketurunan bangsa minoriti) bahawa terdapat jurulatih BTN yang menyebarkan idealogi yang bersifat perkauman, hinggakan ke tahap menimbulkan kebencian terhadap kaum-kaum minoriti di Malaysia.

Pada 22 Mei 2009, surat khabar The Star menyiarkan laporan bahawa BTN terlalu menekankan hak rakyat berasaskan perkauman hinggakan ia menyebabkan perpecahan antara kaum.

BTN ditugaskan menyampaikan maklumat berasaskan fakta sejarah dan tidak menyentuh sentimen perkauman secara sempit.Tidak timbul langsung soal memperkecil dan memburukkan kaum bukan Melayu kerana perkara yang disampaikan berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pengharaman BTN oleh kerajaan negeri Selangor Pada 24 November 2009, kerajaan negeri Selangor dengan rasminya yang diwakili oleh exco pendidikan tinggi, Dr Halimah Ali melarang penyertaan kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya hadir di program anjuran Biro Tatanegara (BTN) berikutan susulan desakan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang mendakwa program kendalian biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu membangkitkan sentimen perkauman.

ADUN-ADUN yang terlibat: Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

Ini merangkumi empat buah pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri itu: Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kemahiran Yayasan Selangor.

ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang pernah mengikuti program BTN berkata, mendakwa bahawa sepanjang dalam program tersebut ada dikatakan KeAdilan atau Anwar Ibrahim adalah ejen Yahudi, DAP adalah parti ejen Singapura, Pas adalah parti ajaran sesat.

Bagaimanapun, tindakan ini dilakukan tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang nyata dan dianggap lebih merupakan gimik politik oleh Datuk Seri Noh Omar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagaimanapun menyatakan bahawa semangat patriotisme yang diterapkan dalam kursus Biro Tata Negara (BTN) baik untuk semua pihak bukan sahaja penyokong kerajaan.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata keputusan kerajaan Selangor melarang kakitangan awam dan pelajar IPT milik negeri itu daripada mengikuti kursus BTN semata-mata bertujuan politik, supaya rakyat lupa akan janji-janji pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan tiada masalah mendedahkan kepada umum silibus dan modul kursus Biro Tata Negara (BTN) yang didakwa pembangkang sebagai 'sesi membasuh otak' yang sengaja diada-adakan Barisan Nasional (BN) untuk memupuk semangat perkauman di kalangan peserta.

Beliau juga menyifatkan ia merupakan usaha pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap masalah dalaman mereka selain menenggelamkan khidmat BN yang mendahulukan kepentingan rakyat. Ini kerana kerana BTN wujud sudah lama, dan kenapa sekarang baru nak ditimbulkan isu ini.

No comments:

Blog Archive