Sunday, November 29, 2009

Kerajaan Pakatan Selangor Jadikan BTN Musuh

TELAH jelas pemimpin pembangkang takut bayang-bayang sendiri. Mereka takut rakyat yang mula sedar kelemahan dan kepincangan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pakatan pembangkang beralih sokongan kepada parti komponen BN semula.

Atas sebab itu pada 24 November lalu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali membuat keputusan melarang penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri itu daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta-merta.

Alasan beliau, kursus itu merupakan proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman.

Perkembangan peralihan sokongan rakyat kepada BN sudah nampak sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara dan melakukan pembaharuan dan transformasi sejak April lalu.

Gagasan 1Malaysia yang menumpukan kepada Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan hari demi hari memikat hati rakyat melalui pelaksanaan dasar-dasar baru kerajaan. Hal inilah cuba diterapkan oleh Kerajaan Persekutuan supaya peserta kursus BTN dapat memahami aspirasi negara untuk kebaikan semua kaum.

Kalau perkara baik begini dituduh untuk memecahbelahkan rakyat berbilang kaum, maka tanggapan Dr. Halimah adalah salah.

Sebenarnya para pemimpin Kerajaan Negeri Selangor cuba mengalihkan perhatian daripada isu kepimpinan PKR dan Pas kepada BTN yang berada di bawah Kerajaan Pusat.

Kenapa Dr. Halimah takut sangat dengan BTN yang pernah dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan Dr. Hassan Ali.

Sejak mengambil alih kuasa kerajaan negeri pada Mac 2008, tidak sudah-sudah kekecohan berlaku di Selangor.

Rakyat sudah jemu dengan mainan politik pakatan pembangkang yang sehingga hari ini masih 'berhutang' banyak janji dalam manifesto pilihan raya dahulu.

Rakyat Selangor sudah bosan dengan pelbagai alasan dan mainan politik pakatan pembangkang. Jelas, pakatan pembangkang nampaknya tidak mampu mentadbir negeri, sebaliknya cuba mengalih tumpuan rakyat daripada isu Anwar Ibrahim dan isu-isu kepincangan pentadbiran negeri Selangor kepada BTN.

Apa salah kursus BTN hingga tiba-tiba dijadikan kambing hitam? Tidak bolehkah penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi mengikuti kursus memupuk perpaduan yang dianjurkan BTN? Sudah ramai peserta menjalani kursus BTN, tetapi tidak ramai juga yang menentang UMNO dan BN.

Jadi apa kalut sangat Dr. Halimah yang takut peserta menukar pendirian. Kalau pentadbiran Selangor berkesan, jangan dibimbang akan sokongan rakyat.

Mereka tahu yang mana boleh diharap dan yang mana hanya cakap kosong. Apa yang penting, Kerajaan Negeri Selangor perlu adil dan melaksanakan apa yang diarahkan.

Kalau kursus BTN mahu dipulaukan, maka masjid-masjid di Selangor mesti dibersihkan daripada dicemari oleh ceramah-ceramah berbau politik sebagaimana perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang sebarang aktiviti politik di masjid dan surau di negeri itu.

Tetapi perkara ini masih berlaku hingga hari ini apabila penceramah agama yang bertauliah dan tidak bertauliah, tanpa rasa bersalah mencaci dan menjatuhkan hukum sewenang-wenangnya kepada musuh politiknya.

Bukan semua jemaah masjid itu orang politik. Mereka bukan dapat ilmu agama tetapi kata-kata caci, fitnah dan sindiran secara halus hingga boleh menimbulkan perpecahan di kalangan kariah masjid.

Saya berpandangan doktrin memecahbelahkan kariah sesama Islam melalui ceramah agama di surau dan masjid yang lebih berbahaya daripada kursus BTN.

Jangan terkejut jika selepas ini ada bermacam-macam larangan diumumkan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim yang takut pada bayang-bayang sendiri.

Mereka perlu ingat bahawa tugas mentadbir negeri serta melaksanakan janji-janji pilihan raya tidak semudah melaungkan suara-suara membangkang.

Dalam perkembangan lain ekoran larangan kerajaan Selangor kepada kakitangan awam dan pelajar institut pengajian tinggi negeri itu daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN), DAP pusat pula menuntut biro itu ditutup.

Pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang mendakwa kursus BTN menyemai rasa benci kepada parti itu selain menjadi penghalang terbesar mencapai gagasan 1Malaysia. Saya tidak terkejut dengan gesaan tersebut.

Kit Siang tetap Kit Siang. Selagi beliau bernafas, beliau tidak akan berhenti memainkan agenda perkauman secara tersurat mahupun tersirat.

BTN adalah salah satu daripada institusi yang mempunyai peranan membina dan menggilap semangat kenegaraan demi kepentingan negara.

Malah banyak modul kursus BTN telah dapat mengekang gejala ekstremisme kaum dan agama, yang akhirnya memberi faedah kepada semua termasuk dalam melindungi golongan minoriti.

Saya hanya tersenyum apabila Kit Siang mendakwa BTN menyemai kebencian kepada DAP. Kalau hendak bencikan DAP, tidak perlu mengikuti apa kursus sekalipun kerana majoriti rakyat sememangnya meluat dengan DAP.

Jangan salahkan pihak lain kerana parti itu sendiri sebenarnya yang menjadi kilang menerbitkan rasa benci terhadap kerajaan, institusi Melayu, kontrak sosial dan banyak lagi. Itulah persepsi ramai terhadap DAP, yang Kit Siang sendiri tahu.

No comments:

Blog Archive