Friday, April 10, 2009

perubahan Total

Dahulu datuk-neneknya nelayan, sekarang cucu-cucu nelayan ini jadi teknorat, jadi Yang Berhormat, jadi pegawai kerajaan yang berpangkat, jadi pengurus pada syarikat-syarikat, jadi kontraktor dan jadi bermacam-macam, yang jelas tidak serupa dengan pekerjaan datuk-neneknya. Inilah yang dikatakan perubahan total. Walaupun, punya susuk galur yang sama, tetapi tidak lagi berpenghidupan seperti asal-usulnya.

Bagaimana kita menyebutnya, jika dahulu datuk-neneknya seorang menteri, sekarang cucunya jadi menteri juga. Di sini kita tidak nampak, apa-apa perubahan, kerana cara penghidupannya masih serupa. Nampaknya dalam kehidupan kita, sesuatu pekerjaan yang susah itu berkenderungan untuk ditinggalkan, sedangkan pekerjaan yang mudah itu selalu dipertahankan. Yang anehnya, orang-orang yang berpenghidupan susah inilah yang menaikkan orang-orang yang berpenghidupan selesa. Dalam syarikat pengangkutan, pemandu-pemandu adalah tiang syarikat. Dalam syarikat pembuatan, para pekerja kilang merupakan penggerak nadi syarikat. Dalam restoran, tukang-tukang masak dan pelayan menjadi nadi syarikat. Dalam pasukan keselamatan, askar-askar dan polis menjadi nadi pasukan ini. Begitu juga dalam parti politik, rakyat biasa merupakan nadi parti. Jika, terjadi sebaliknya, maka pincanglah semua urusan. Pemandu-pemandu lori dan bas tidak memandu lagi, syarikat pengangkutan akan lumpuh. Pekerja-pekerja kilang tidak mahu berkerja lagi, maka kilang akan tutup. Tukang-tukang masak tidak lagi memasak, restoran tutup, sebab makanan yang dihidang tiada lagi. Askar-askar dan polis berhenti, maka keselamatan akan pupus. Begitu juga, rakyat tidak ikut parti, parti akan hancur. Apabila parti hancur, menteri tiada lagi, rupanya begini caranya melakukan perubahan total.

No comments:

Blog Archive