Sunday, April 26, 2009

Beza Bantuan Kerajaan dengan Bantuan Projek

Menarik betul keputusan kementerian kabajikan yang terpampang di surat-surat khabar aliran perdana, dimana orang kurang upaya (OKU) atau daif tidak mendapat bantuan kementerian tersebut, disebabkan ada kemudahan siaran ASTRO di rumah.

Rupanya asas seseorang yang berada dalam kategori OKU dan daif menurut tafsiran kerajaan yang diwakili oleh kementerian kebajikan atau jabatan kebajikan adalah mereka-mereka yang hanya perlu makan dan minum untuk tidak cepat mati, Tidak lebih dari itu. Bantuan hanya sekadar menyambung nyawa sebelum ketentuan Tuhan tiba.

Dalam negara ini, dimana asas ekonomi adalah berorentasikan kepada kapitalisme,maka siapa yang dikurniakan fizikal yang lengkap dan mendapat peluang kerana jalinan yang ada sahaja yang boleh hidup. Mereka yang termasuk dalam golongan bukan OKU atau daif dan mempunyai jalinan dan jaringan tertentu sahaja yang mendapat bantuan bermilion ringgit dalam bentuk projek; sehingga menghasilkan kaya terus kaya, kerana konsep: wang mendapatkan wang. Hanya golongan bukan OKU atau daif sahaja yang mempunyai keluarga untuk dimajukan, diangkat dan diketengahkan agar menjadi aset negara. Orang-orang atau individu yang sempurna fizikal dan akal sahaja yang boleh mendiami negara ini, kerana sebagai negara yang mengarah kepada negara maju, maka rakyatnya mesti yang sihat-sihat dan kaya sahaja yang boleh mendiami negara ini.

Bagi kerajaan, kehadiran rakyat yang tergolong OKU atau daif hanya mencacatkan peringkat kehidupan rakyat negara ini. Menimpangkan pengiraan pendapatan perkapita negara, kerana kehadiaran mereka menyumbang kepada angka pendapatan isi rumah yang sangat rendah, sehingga apabila pemurataan pendapatan perkapita negara dikira, maka angkanya menjadi rendah kerana jumlah mereka hampir sama dengan mereka yang mempunyai pendapatan tinggi. Tujuan negara agar ternampak negara makmur dengan berpandukan kepada pendapatan perkapita negara agak terbantut. Untuk mencapai pendapatan perkapita yang tinggi, maka diteruskanlah pemberian bermilion ringgit kepada mereka yang sempurna fizikal dan akal, dan menyekat bantuan kepada mereka yang mempunyai fizikal dan akal yang sebaliknya.

Menjelang tahun 2020, hanya 11 tahun lagi, negara diperkirakan menjadi negara maju, pada masa itu diperkirakan tiada lagi rakyat yang tergolong OKU atau daif, kerana semua rakyat negara ini mempunyai susuk tubuh yang lengkap dan semunya kayaraya. Pada masa itu, negara telah makmur dengan pendapatan perkapita yang tinggi setaraf dengan dengan negara maju yang telah lama maju. Pada masa itu, kementerian kebajikan atau jabatan kebajikan hanya tinggal sejarah,kerana kewujudannya tidak diperlukan lagi. Pada masa itu pemilikan siaran Astro bukan menjadi ukuran lagi, tetapi jet peribadi telah menjadi ukuran.

No comments:

Blog Archive